suria

Kepulan asap tebal, Mid Valley di KL terbakar

Kebakaran berlaku di pusat beli-belah Mid Valley di Kuala Lumpur. foto Twitter

DIKEMASKINI

KECOH apabila pusat beli-belah Mid Valley di Kuala Lumpur terbakar pada pagi Rabu.

Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan kepulan asap tebal sehingga mencetuskan suasana cemas orang ramai di kawasan berkenaan.

Pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pusat beli-belah Mid Valley di Kuala Lumpur, terbakar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, api marak keluar dari pencawang tersebut dan orang ramai yang melalui Lebuh Raya Persekutuan yang terletak berhampiran pusat beli belah itu boleh nampak kejadian itu.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kebakaran itu dan usaha-usaha pemadaman giat dilakukan.

Sementara itu, pihak pengurusan Mid Valley City dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya, pihaknya mengesahkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran itu setakat pukul 11.38 pagi.

"Pihak pengurusan Mid Valley City ingin mengesahkan bahawa satu kejadian berlaku di premis kami awal pagi tadi.

"Kebakaran berlaku di sebuah pencawang luar sebelum api dikawal oleh Pasukan Tindakan Kecemasan. Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba di tempat kejadian pada pukul 10.42 pagi.

"Anggota Bomba masih di tempat kejadian menjalankan semua siasatan yang diperlukan dan mengawal premis daripada sebarang gangguan operasi pusat membeli-belah," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam mengutamakan keselamatan semua yang hadir, gangguan sementara kepada bekalan kuasa akan dilaksanakan sehingga pihak berkuasa membenarkan pemulihannya.

"Mid Valley City akan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan ingin menegaskan bahawa keselamatan pembeli dan tetamu tetap menjadi keutamaan kami," tambah kenyataan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain