suria

Jumpa mayat berkain sarung dalam tangki najis, polis buru suami isteri rakan serumah

Mayat seorang warga Indonesia ditemukan di dalam sebuah tangki najis di Kuala Kangsar, Perak.

PIHAK polis memburu sepasang suami isteri selepas dipercayai melarikan diri susulan penemuan mayat rakan serumah mereka dalam tangki najis di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mayat lelaki warga Indonesia yang dianggarkan berusia 40an itu ditemukan dalam keadaan masih berkain sarung dan seluar.

Katanya, pihak polis menerima maklumat mengenai mayat itu pada pukul 12.20 tengah malam.

Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pada Isnin mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

"Pihak polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang tinggal serumah dengan si mati bagi membantu siasatan.

"Mereka sudah melarikan diri dan dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias 013-9285436.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain