suria

Berjaya beli tiket konsert Coldplay... Pemuda PAS Kelantan tegur Khairul Aming, bimbang promosi LGBT

Khairul Aming (kanan) ditegur Ketua Pemuda Pas kerana membeli tiket konsert Coldplay.

UMPAMA fenomena, band rock terkemuka, Coldplay kini menjadi buah mulut masyarakat kerana bakal mengadakan konsert julung kalinya di Malaysia pada 22 November ini.

Kebanyakan peminatnya mula membuat hantaran tentang kejayaan dan kegagalan mendapatkan tiket konsert yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil.

Tidak ketinggalan pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang turut memuat naik status tentang pembelian tiket ke konsert berkenaan.

Pun begitu, perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi kurang senang daripada pengikutnya.

Malah, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed juga lantang bersuara berhubung isu pembelian tiket yang dibuat pempengaruh terbabit.

Menerusi hantaran di laman Facebook, dia meluahkan rasa sedih dan terguris apabila membaca hantaran Twitter Khairul Aming yang berjaya mendapatkan tiket ke konsert Coldplay.

Bukan itu sahaja, dia turut menyifatkan pempengaruh itu secara tidak langsung mempromosikan konsert dari artis yang terpalit isu LGBT.

Hantaran yang dibuat Khairul Aming selepas berjaya membeli tiket konsert Coldplay.

Hantaran yang dibuat Khairul Aming selepas berjaya membeli tiket konsert Coldplay.

"Saya layangkan surat ini sebagai seorang saudara seagama, apa lagi kita lahir di negeri yang sama. Atas semangat itu saya merasa terpanggil untuk memberikan teguran atas posting saudara yang berjaya membeli tiket Coldplay.

"Pada saya, seorang public figure yang bersih seperti saudara tidak seharusnya secara tidak langsung mempromosikan konsert dari artis yang lantang mempromosikan LGBT.

"Alang kepalang kesedihan, terguris hati saya apabila membaca posting Twitter saudara yang bersungguh menempah tiket," tulisnya di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Fahmi Fadzil bakal ambil tindakan individu jual semula tiket Coldplay

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Scalper’ jual tiket Coldplay RM43,000! Peminat geram minta penganjur tambah tarikh konsert

Pun begitu, Mohamad Kamal mengakui dia bukanlah individu yang layak untuk menghalang keinginan orang lain namun menggunakan pendekatan 'saudara seagama' untuk menasihati.

Dia turut meluahkan kebimbangan dan kesan penganjuran konsert Coldplay itu nanti.

"Pastinya siapa saya untuk menghalang keinginan orang lain tetapi suka saya menitipkan pesan lantaran saudara adalah saudara seagama saya.

Coldplay bakal membuat konsert di Stadium Bukit Jalil pada 22 November ini.

Coldplay bakal membuat konsert di Stadium Bukit Jalil pada 22 November ini.

"Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti.

"Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda," ajunya lagi.

Menyifatkan pempengaruh tersebut sebagai seorang yang matang dalam membuat pertimbangan, tambah Mohamad Kamal tindakan Khairul Aming dilihat tidak wajar kerana seolah-olah berkempen untuk konsert tersebut berikutan mempunyai pengikut media sosial yang ramai.

"Saya doakan saudara akan lebih berjaya dengan apa yang telah saudara usahakan dan terpaling saya doa adalah agar saudara membetulkan khilaf yang kesan akibatnya tidak terjangkau akal terhadap anak muda negara," ujarnya di akhir kata.

Terdahulu, Khairul Aming yang juga usahawan membuat perkongsian tips membeli tiket Coldplay pada 16 Mei lalu.

Malah dia turut menyatakan berjaya membeli empat tiket konsert di bahagian berdiri yang bernilai RM658 setiap satu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain