suria

Pengeluaran tambahan hanya burukkan keadaan, wajar kekalkan simpanan KWSP... selesa selepas bersara

Ahli KWSP perlu memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

SIMPANAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan benteng terakhir pekerja selepas persaraan mereka.

Namun bagi segelintir pihak, KWSP dilihat sebagai talian hayat yang berfungsi sebagai simpanan tunai kecemasan untuk digunakan dalam menangani kos sara hidup semasa.

Bagaimanapun, sebarang pengeluaran tambahan baharu KWSP sama ada secara bersasar atau terbuka hanya akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini berada dalam tahap amat membimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, isu ketidakcukupan simpanan KWSP perlu diberi perhatian yang serius ketika negara kini sedang menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas.

Sehubungan itu, menerusi Belanjawan 2023, beliau berkata, kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Jelas beliau, empat kemudahan pengeluaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah memberikan implikasi jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara dalam kalangan ahli-ahli yang terlibat.

“Sehingga 31 Disember 2022, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka selepas pengeluaran berkenaan.

unnamed (1)

Seramai 8.1 juta ahli memohon sekurang-kurangnya satu daripada empat pengeluaran berkaitan Covid-19 mengalami penyusutan dalam jumlah simpanan mereka.

“Amaun ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun yang bersamaan dengan RM1.40 sehari,” katanya.

Menurut Anwar lagi, keempat-empat pengeluaran khas itu juga menyebabkan penurunan yang ketara dalam peratusan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022.

Seramai 8.1 juta ahli atau 61 peratus ahli KWSP di bawah usia 55 tahun memohon sekurang-kurangnya satu daripada empat jenis pengeluaran berkaitan Covid-19 yang menyebabkan penyusutan dalam jumlah simpanan mereka.

Antara 8.1 juta ahli yang membuat pengeluaran khas berkaitan Covid-19, 0.3 juta ahli atau bersamaan 4 peratus telah mencapai umur 55 tahun dan ke atas setakat Januari 2023, yang mempunyai akses kepada semua simpanan KWSP mereka.

Oleh sebab itulah, pelaksanaan inisiatif i-Citra merupakan keputusan yang sukar kerana KWSP diberi mandat untuk membantu ahli menguruskan wang persaraan mereka.

i-Citra di bawah pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), membolehkan semua ahli di bawah usia 55 tahun layak memohon dan membolehkan mereka mengeluarkan maksimum sehingga RM5,000.

unnamed (1)

4.6 juta ahli mula membina semula simpanan KWSP mereka dengan pertumbuhan simpanan bersih berjumlah RM26.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh lapan bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun keputusan berkenaan perlu dibuat memandangkan negara berdepan keadaan sukar berikutan pandemik Covid-19.

"Kami faham pandemik Covid-19 mendatangkan dugaan luar biasa, dan kami cuba mencari jalan untuk memberi ruang buat ahli untuk mengakses dana simpanan mereka," katanya.

Menurut beliau, walaupun dengan pelaksanaan inisiatif i-Lestari dan i-Sinar sebelum ini yang membabitkan pengeluaran sebanyak RM80 bilion, ia tidak menjejaskan kecairan KWSP.

"Kita boleh uruskan sekiranya ia mengikut apa yang dirancang dan kami boleh melihat portfolio. Kami juga boleh menyesuaikan diri mengikut keadaan.

"Yang paling utama adalah kita tidak kehilangan mandat kerana pada akhirnya kita perlu ingat bahawa kita perlu mengambil kira isu persaraan negara.

"Jika kita membiarkan dana simpanan ahli digunakan sampai habis, maka akan menjadi masalah yang tidak boleh diuruskan," katanya.

Amir turut menjelaskan, pihaknya sentiasa berusaha untuk mencari keseimbangan antara membantu ahli KWSP dan pada masa yang sama memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

unnamed

KWSP sentiasa berusaha untuk mencari keseimbangan antara membantu ahli KWSP dan memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

Daripada baki 7.8 juta ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah usia 55 tahun sehingga Januari 2023, seramai 4.6 juta (59 peratus) mula membina semula simpanan KWSP mereka dengan pertumbuhan simpanan bersih berjumlah RM26.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh lapan bulan selepas kemudahan pengeluaran khas terakhir pada Mei 2022.

Manakala seramai 3.1 juta atau 39 peratus ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah usia 55 tahun setakat Januari 2023 belum mula membina semula simpanan mereka.

Tahap simpanan mereka kekal di paras sangat rendah, dengan purata simpanan sebanyak RM890.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, dengan jangka hayat penduduk yang semakin meningkat, simpanan selepas persaraan sangat penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesara.

"Kemudahan pengeluaran sebelum ini sudah banyak memberi implikasi kepada simpanan hari tua pekerja.

"Jika seorang pesara memerlukan minimum RM1,500 sebulan untuk perbelanjaan kelangsungan hidup dan beliau memerlukannya untuk tempoh 10 tahun selepas bersara.

"Ini bermakna beliau memerlukan RM180,000 untuk menampung hidup selama 10 tahun. Cukupkah simpanan ini?" menurutnya apabila dipetik untuk berkata.

Justeru, caruman KWSP amat penting untuk kelangsungan hidup selepas persaraan, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Benar, wang simpanan KWSP ialah milik individu tetapi harus diingatkan bahawa caruman itu mampu digunakan untuk kehidupan selepas bersara nanti.

Ini kerana masyarakat memerlukan sumber kewangan yang lebih kukuh kerana ketika itu nanti tidak lagi mendapat bayaran gaji.

Kesimpulannya, ingatlah hari ini demi keselesaan hari tua dengan membuat caruman KWSP dan mengekalkan simpanan anda di sini.

Jadilah pencarum yang bijak dengan memikirkan masa depan yang lebih baik, bukan sahaja untuk diri anda sendiri bahkan buat keluarga yang bakal anda tinggalkan kelak.

Untuk maklumat lanjut mengenai KWSP, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain