suria

Hakim arah pegawai penjara buka gari... Bekas penuntut kolej terlepas tali gantung kes bayi maut dalam tandas

Hakim mengarahkan Nur Izzati yang sebelum ini dijatuhi hukuman sembilan tahun penjara agar dibebaskan serta-merta.

IBARAT diberi 'nyawa' kedua.

Bekas penuntut sebuah kolej di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Nur Izzati Adi, 26, bakal memulakan hidup baharu selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya membebaskannya daripada kesalahan menyebabkan kematian seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dalam tandas kolej, enam tahun lalu.

Keputusan itu dibuat ketika dia sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkenaan.

Menerusi prosiding hari ini, panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail mengarahkan Nur Izzati yang sebelum ini dijatuhi hukuman sembilan tahun penjara agar dibebaskan serta-merta.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mohamed Zaini turut meminta agar warden Jabatan Penjara membuka gari pada tangan Nur Izzati.

"Saya beri arahan kepada pihak penjara supaya membuka garinya serta-merta supaya perayu boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada," ujar Hakim Hadhariah.

ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut Kolej Pertanian Malaysia Didakwa Bunuh Anak Sendiri

Keputusan itu ternyata memberi kelegaan buat Nur Izzati yang turut menangis sejurus dibebaskan mahkamah.

Sambil diiringi beberapa pegawai penjara, dia mengambil peluang untuk berpelukan dengan ahli keluarganya.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan peguam Nur Izzati sebagai perayu bersetuju supaya sabitan dikenakan di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan berbanding Seksyen 302 KK sebelum ini yang memperuntukkan hukuman gantung.

Untuk rekod, Nur Izzati dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra pada 10 April 2017 atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang bayi dengan menekupnya di tandas perempuan aras tiga kolej itu dalam kejadian pada 30 Mac tahun sama.

Pada 14 Jun 2020 pula, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Nur Izzati setelah mensabitkannya atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Namun dia diperintahkan menjalani hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain