suria

Kerajaan tanggung RM5.2 bilion kos subsidi elektrik... Rakyat tidak terjejas tarif baharu selama enam bulan

Kerajaan tampung subsidi elektrik bagi Julai hingga Disember.

KERAJAAN mengumumkan kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion ditanggung sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Ia sekali gus membolehkan hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang baharu ini.

Bagi pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan akan menikmati penurunan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia ekoran purata harga bahan api yang sedikit menurun dari USD224/metrik tan (Julai-Disember 2022) kepada USD173.50/metrik tan (Januari-Jun 2023).

Pun begitu, purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh RP3 iaitu USD79/metrik tan.

Tambah beliau, ia selaras hasrat kerajaan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula Julai 2023, penggunapengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu 1% pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25%). Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, Kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

Di bawah pelaksanaan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), pelarasan tarif elektrik bagi pengguna Semenanjung bagi tempoh ini adalah seperti berikut:

1. Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

2. Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

3. Pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

4. Pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersil akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

Bagi menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV terutamanya pada struktur bumbung premis bangunan, kerajaan juga telah melakukan ketetapan untuk melonggarkan syarat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo) seperti berikut:

1. Had kapasiti setiap rumah bagi permohonan NEM Rakyat dilonggarkan, berbanding had 4kW untuk pemasangan 1 fasa dan 10kW untuk pemasangan 3 fasa dan pengguna boleh melakukan pemasangan sistem solar berdasarkan kriteria teknikal yang ditetapkan.

2. Had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah Program NEM NOVA dan Program SelCo ditingkatkan daripada 75% kepada 85%.

3. Program SelCo dibuka untuk permohonan dan penyertaan pengguna voltan tinggi (HV consumer).

4. Pelaksanaan ketetapan baharu di bawah Program NEM dan SelCo ini akan berkuatkuasa mulai 15 Julai 2023, berpandukan garis panduan yang akan dikemaskini oleh Suruhanjaya Tenaga.

5. Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga akan mengumumkan beberapa penambahbaikan untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain