suria

Pecahkan logo balai bomba guna penukul, wanita direman 3 hari

logo

SEORANG wanita yang videonya tular kerana memecahkan logo Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Pulau Pinang kelmarin, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang pegawai bomba kira-kira pukul 12.43 pagi semalam.

"Kejadian berlaku pada 12.43 tengah malam dan suspek didapati telah memusnahkan logo jabatan di dalam balai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (4 Julai).

Ujarnya, permohonan reman ke atas suspek wanita berusia 53 tahun dibenarkan selama tiga hari sehingga 5 Julai ini.

Soffian berkata semakan mendapati suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati tiada tanda penyalahgunaan dadah.

Suspek yang disyaki mengalami masalah mental itu telah dirujuk dan ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menularkan sebarang gambar dan rakaman video berkenaan kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain