suria

Tak boleh tengok muka! Anak penunggang Ducati rasa sedih, marah tatap wajah tertuduh

Muhammad Hafidz terkesan kerana kehilangan bapa yang merupakan insan paling rapat dengan dirinya.

"SAYA rasa sedih dan marah!"

Demikian kata Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil ketika ditemui di Mahkamah Majistret Ampang pada prosiding kes membabitkan bapanya yang maut dalam nahas di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), 14 Jun lalu.

Muhammad Hafidz adalah anak sulung kepada penunggang Ducati Panigale, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 64, yang meninggal dunia selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE, dipercayai mengelak seorang penunggang motosikal yang melawan arus.

Dalam prosiding pada Isnin, tertuduh, Mudzyadaha Mohammad, 42, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas dakwaan menyebabkan kematian Ahmad Fadzil.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider Ducati maut tercampak dari ‘flyover’: Penunggang motosikal lawan arus OKU mental, diperintah jalani ujian psikiatri

"Bila saya tengok muka dia (tertuduh), saya betul-betul rasa marah sebab hilang seorang ayah," ujar anak sulung kepada empat adik beradik itu.

Muhammad Hafidz berkata, hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaan hilang orang yang paling rapat dalam hidupnya.

"Ayah dengan saya memang sangat rapat. Kami selalu 'ride' dan pergi surau sama-sama. Apabila dia tidak ada, saya betul-betul rasa kehilangan," katanya.

ducati 2

Tertuduh menundukkan wajah ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada Isnin.

Muhammad Hafidz berkata dia akan hadir ke mahkamah setiap kali prosiding berjalan untuk mengetahui perkembangan kes berkenaan.

Dia juga sempat mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan arwah bapanya.

Terdahulu, Majistret, Amalina Basirah Md Top memerintahkan tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, untuk menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Ia selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhah yang dibacakan ke atasnya.

Semasa prosiding, peguam memaklumkan bahawa tertuduh merupakan seorang pesakit mental yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan arus jadi saya mohon pada mahkamah membenarkan untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri dibawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah," kata peguam itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain