suria

Bayi perempuan tiba-tiba menangis, tunjuk tingkah laku tak terkawal rupanya positif dadah… Polis tahan ibunya

Bayi setahun 10 bulan didapati positif dadah selepas mendapat laporan di Hospital Taiping. -Gambar hiasan

SEORANG wanita ditahan polis selepas bayi perempuannya didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, penahanan ibu kepada bayi berusia satu tahun 10 bulan itu dibuat selepas mendapat laporan daripada pegawai perubatan di Hospital Taiping, Perak pada Selasa.

"Bayi berkenaan dikatakan dihantar ke rumah neneknya oleh ibunya berusia 22 tahun kerana ingin membeli barang keperluan di kedai runcit berhampiran.

"Ketika mahu tidur, mangsa tiba-tiba menangis dan menunjukkan tingkah laku tidak terkawal menyebabkan ibu mangsa membawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Razman berkata, susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang juga suri rumah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Difahamkan bayi berkenaan kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital.

Menurut Razman, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain