suria

Lelaki tikam rusuk belakang polis ditahan ketika ‘lalok’, mangsa masih dirawat di hospital

Suspek menikam anggota polis dalam Op Tapis Khas ditahan untuk siasatan lanjut.

POLIS menahan seorang lelaki dipercayai suspek kejadian tikam anggota polis di bahagian rusuk belakang ketika menjalankan tugas Op Tapis Khas di Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi Rabu di pusat bandar Johor Bahru.

“Saya boleh mengesahkan bahawa polis telah membuat tangkapan berhubung kes menikam seorang konstabel berusia 22 tahun pada Isnin.

“Pemeriksaan dibuat terhadap suspek mendapati dia positif penyalahgunaan dadah dan ketika tangkapan dibuat, dia sedang khayal,” katanya.

Bagaimanapun, Raub enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu kerana kes masih dalam siasatan.

Ketika ditanya mengenai keadaan anggotanya yang cedera, Raub berkata mangsa semakin pulih.

“Alhamdulilah, keadaan anggota semakin baik tetapi dia masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah di bawah pemerhatian perubatan untuk beberapa hari akan datang,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, anggota polis itu ditikam ketika menjalankan tugas semasa Op Tapis Khas, operasi mencari dan menangkap penagih dadah di seluruh negara, di sebuah tempat letak kereta di Jalan Ungku Puan di Johor.

Anggota polis itu mengalami kecederaan parah di bahagian kiri rusuk belakang selepas ditikam dengan pisau oleh suspek kira-kira jam 2.30 pagi.

Mangsa bersama lima anggota dan seorang pegawai sedang menjalankan pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Seorang daripada suspek cuba melarikan diri sehingga menyebabkan berlaku pergelutan dengan mangsa menyebabkan dia ditikam manakala suspek melarikan diri dengan berjalan kaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain