SEBANYAK 75 peratus daripada remaja di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat gambar pornografi. Dapatan itu berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2021. Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad berkata, kebanyakannya terdiri daripada remaja lelaki yang terjebak semasa menuntut di sekolah menengah dan kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian. "Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya. "Pelajar ini kemudian terdedah kepada masturbasi dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas ketika menuntut di kolej," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu. Dr Noor Azimah berkata, menonton pornografi yang menyebabkan sebahagian remaja mengalami ketagihan boleh membawa kepada risiko melakukan seks bebas. Katanya, risiko tersebut termasuk mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan siflis. "Berdasarkan kajian pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej, mendapati 10 peratus pelajar kolej pernah melakukan aktiviti seksual manakala lima peratus pula sangat aktif melakukannya. "Aktiviti seksual yang dilakukan oleh remaja adalah berisiko tinggi. Mereka cenderung untuk bertukar-tukar pasangan, mengamalkan homoseksual iaitu seks sesama jantina atau biseksual iaitu seks sesama sendiri atau berlainan jantina, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Belia Malaysia tak suka pakai kondom, mengaku tengok 'porn' untuk belajar seks... Ini realiti pengetahuan seksual anak muda kita! ARTIKEL BERKAITAN: Kajian dedah aktiviti seks oral jadi penyumbang terbesar kanser tekak, kes meningkat macam wabak Jelasnya, hampir kesemua remaja mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus dari kes HIV baharu adalah melibatkan remaja. "Ketagihan seksual bermula sejurus aktiviti seksual berlaku. Setelah berasa seronok melakukan aktiviti seksual, mereka ingin melakukannya sekali lagi. Keinginan ini akan berterusan dan berulang-ulang," katanya. Menurutnya lagi, dapatan yang hampir sama dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks. Dr Noor Azimah menegaskan bahawa penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa. "Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi sama ada di rumah sendiri atau sesetengah premis yang mana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri. "Hubungan antara media sosial, pornografi dan aktiviti seksual juga bersifat linear. Jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba menyebabkan mereka memilih untuk melakukan amalan terlarang itu," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan utama iaitu menyingkirkan perasaan malu untuk memberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah. "Antara topik yang perlu dijelaskan kepada anak adalah apakah itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa di rancang. "Ibu bapa akan menggunakan istilah hubungan kelamin, namun remaja mungkin keliru definisi istilah ini dengan istilah seks," katanya. Dr Noor Azimah turut menyeru ibu bapa supaya memikul tanggungjawab dengan mencari maklumat berkenaan pendidikan seksual remaja atau menambah ilmu melalui pembacaan dan majlis ilmu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube