suria

Rakyat Malaysia teruja Anwar bertemu Elon Musk, siap pesan jangan sebut ‘Threads’ masa bincang

Anwar (kiri) dijadualkan mengadakan pertemuan secara maya dengan Elon Musk pada Jumaat.

SATU pertemuan yang dinanti-nantikan bakal mencatat sejarah esok!

Rakyat Malaysia kini tertumpu pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk pada Jumaat.

"Jumpa esok," kata Anwar secara ringkas bagi mengesahkan perkara itu ketika ditanya mengenai pertemuan tersebut.

Perjumpaan secara maya bersama bilionair Elon yang juga pemilik laman sosial Twitter itu antara lain bagi membincangkan cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu untuk menambah pelaburan di Malaysia.

Rata-rata netizen di media sosial turut teruja dengan pertemuan tersebut sambil berteka-teki apakah kejutan yang bakal berlaku.

Logo Threads milik Meta (kiri) dan logo Twitter (kanan). -Gambar Reuters

Pada masa sama, segelintir mereka mengharapkan pertemuan antara dua tokoh itu sepatutnya dilakukan secara fizikal.

"Satu lagi sejarah buat Malaysia.

"Ingat bos Tesla dan Twitter nak datang secara fizikal.

"Dalam maya pun jadi la janji pelabur masuk dalam Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Twitter senyap-senyap tukar polisi, benarkan orang ramai lihat tweet tanpa perlu log masuk! Kebetulan pula Meta lancar Threads

ARTIKEL BERKAITAN: Elon Musk hina Mark Zuckerberg, cadang pertandingan ukur zakar dalam ciapan kontroversi di Twitter... Siap guna emoji pembaris

"Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berusaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta teknologi maju di Malaysia. Kami menantikan hasil daripada pertemuan itu dan doakan yang terbaik untuk Malaysia. Tahniah Kerajaan Perpaduan," komen netizen.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Beliau berkata, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan pusat servisnya dan mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di negara ini.

Dalam pada itu, seorang netizen turut mengingatkan agar tidak disebut Threads dalam perbincangan antara Anwar dan Musk.

"Jangan sebut pasal Threads, nanti tak jadi berunding pula," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Twitter mengancam untuk menyaman Meta selepas syarikat induk Instagram itu melancarkan Threads, iaitu aplikasi yang diharapkan dapat mengalahkan laman sosial yang dimiliki oleh Musk.

Threads adalah pencabar terbesar kepada Twitter milik Musk, dengan lebih 30 juta orang sudah memuat turun aplikasi itu hanya selepas beberapa jam dilancarkan pada minggu lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain