Banyak inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2023 untuk keperluan penjagaan kesihatan rakyat yang memberi keutamaan kepada golongan B40. KERAJAAN pada Februari lepas membentangkan Belanjawan 2023 yang menyalurkan dana sebanyak RM36.3 bilion kepada Kementerian Kesihatan dengan sebahagian besar peruntukan tersebut untuk perolehan ubat-ubatan, bahan makmal perubatan, vaksin dan alatan perubatan pakai buang. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan melancarkan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang akan dilaksanakan di 10 daerah di pelbagai negeri. Program perintis itu berlangsung dari 15 hingga 31 Jun di Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kinta (Perak), George Town (Pulau Pinang), Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching (Sarawak) yang memanfaatkan 700,000 isi rumah di kawasan tersebut. Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Skim Perubatan Madani merupakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang memberi keutamaan kepada golongan B40. Pesakit hanya perlu menunjukkan kad pengenalan (MyKad) mereka untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani. Peka B40 Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau Peka B40 pula menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta yang turut merangkumi saringan penyakit kencing manis. Inisiatif kerajaan ini adalah untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dengan memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pengesanan awal penyakit. Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas secara automatik layak menerima manfaat Peka B40. Pemohon tidak perlu membuat pendaftaran tambahan untuk melayakkan mereka menerima manfaat Peka B40. Skim Peka B40 yang dikendalikan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, menawarkan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, prasarana perubatan, bantuan sehingga RM20,000, insentif sebanyak RM1,000 untuk pesakit kanser yang melengkapkan rawatan mereka di hospital kerajaan. Ini termasuk insentif pengangkutan RM1,000 untuk kos perjalanan mereka ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan. Saringan kanser serviks dan payudara Golongan wanita digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payudara menerusi ujian mamogram dan kanser serviks secara percuma, di bawah peruntukan kerajaan sebanyak RM11.5 juta. Di bawah inisiatif tersebut, orang ramai boleh menjalani ujian dan rawatan susulan di pusat momogram yang berdaftar dengan LPPKN atau di 49 Klinik Nur Sejahtera, hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara bagi saringan kanser serviks. Naik taraf hospital Demi perkhidmatan kesihatan negara yang lebih efisien, pesakit daripada hospital kerajaan yang terlalu sesak akan dirujuk ke pusat perubatan lain seperti hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta. Sebanyak 26 hospital di seluruh negara akan dinaik taraf dari segi prasarana terutama hospital di Kuala Kangsar (Perak), Jelebu (Negeri Sembilan) dan Pontian (Johor). Seterusnya penjana elektrik akan dibekalkan kepada 10 hospital kerajaan manakala Hospital Melaka akan melalui penambahbaikan dengan pembinaan blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil. Inisiatif lain termasuk peruntukan RM10 juta untuk perolehan 10 unit mesin cetak 3D (tiga dimensi) bagi penghasilan dentur yang dapat mengurangkan waktu lawatan pesakit ke klinik pergigian kerajaan daripada lima kali kepada hanya dua kali. Peruntukan sebanyak RM5 juta turut disediakan untuk menyokong penyelidikan Universiti Malaya ke arah pengeluaran ubat mampu milik bagi rawatan kanser serviks dan kolon. Selain itu, sebanyak RM3 bilion disalurkan untuk pelantikan staf tetap dan kontrak baharu yang akan ditawarkan kepada lebih 1,500 pegawai perubatan, doktor gigi dan ahli farmasi. Kesihatan mental juga diberi perhatian di bawah peruntukan RM34.5 juta menerusi penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH). Selain itu, Pusat Peningkatan Kesejahteraan Kesihatan Mental Kebangsaan di bawah MyMYNDA turut diperkukuhkan. Pelepasan cukai Hospital kebajikan yang berdaftar sebagai 'Syarikat Berhad Menurut Jaminan' akan diberi pelepasan cukai manakala penyumbang kepada pembangunan pertubuhan itu bakal menikmati pengurangan cukai sebanyak 10 peratus daripada kumulatif pendapatan mereka. Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan pengecualian cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada RM8,000 ke RM10,000. Skop pelepasan cukai sehingga RM4,000 diperluaskan untuk rawatan kanak-kanak kurang upaya perkembangan seperti autisme dan Sindrom Down, dan mereka yang mengalami masalah pembelajaran. Selain itu, duti kastam dan jualan cukai ke atas produk terapi penggantian nikotin akan dikecualikan kerana ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menghapuskan tabiat merokok. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube