suria

Murid darjah 5 dakwa cedera di badan, muka ‘dihukum’ guru besar gara-gara tak siap ‘homework’

Murid berkenaan mendakwa dirotan oleh guru besar di sekolahnya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah. -Gambar hiasan

GARA-GARA gagal menyiapkan kerja sekolah, seorang murid di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah, Segamat mendakwa dirotan oleh guru besar sekolah berkenaan.

Mangsa yang merupakan seorang pelajar tahun lima mengalami kecederaan pada bahagian muka dan badan akibat 'hukuman' berkenaan.

Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan menerusi laman Facebook Polis Daerah Segamat, jam 11 malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kes guru Kafa rotan murid hingga berbirat

Berikutan itu, pihak polis meminta mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung insiden tersebut.

"Pada jam 12.10 pagi ini (Rabu), satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa mengatakan anaknya yang merupakan pelajar Tahun Lima sekolah itu mengalami cedera pada bahagian leher kiri, bahu kiri dan calar di muka akibat dirotan seorang Guru Besar wanita berusia 50-an.

"Siasatan awal mendapati pelajar itu telah dirotan oleh guru berkenaan disebabkan mangsa gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran di sekolah," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad Zamri, pihak polis kemudian turut mengambil keterangan guru besar berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zamry menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain