suria

Ajal ketika bertugas... Juruteknik sedang baik pulih pencawang komunikasi maut disengat tebuan

Tangkap layar daripada video yang dirakam orang awam menunjukkan mangsa yang disengat ketika berada di atas pencawang.

SEORANG juruteknik maut selepas disengat tebuan ketika melakukan kerja baik pulih kerosakan pencawang komunikasi di Felda Gunung Bongsu, Karangan, Kedah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh, dalam kejadian yang berlaku pada tengah hari Rabu, juruteknik berusia 30 tahun itu dilaporkan memanjat pencawang telekomunikasi setinggi 30 meter.

Kira-kira pukul 1.30 petang, pihaknya menerima laporan dari seorang lelaki yang memaklumkan rakan setuganya disengat tebuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Petani maut disengat tebuan, isteri tak sangka suami sempat mencarum seminggu sebelum tragedi... Syukur sekeluarga terima faedah Perkeso

"Pada awalnya mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Karangan untuk rawatan awal.

"Bagaimanapun mangsa didapati mengalami keadaan kesihatan yang lemah dan dibawa ke Hospital Kulim mengunakan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Redzuan, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan sengatan serangga tersebut.

"Tiada unsur jenayah dan kes disiasat sebagai kematian mengejut, jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris dan akan dikembumikan di Alor Setar," ujarnya.

Terdahulu, video yang dirakam oleh penduduk tempatan ketika kejadian menjadi tular di media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain