suria

Wanita meninggal dunia disyaki dipukul suami, suspek ‘ghaib’ selepas hantar mangsa ke hospital

Polis kini sedang mengesan suspek kes dera isteri, Mohamed Imran Mohamed bagi membantu siasatan.

SEORANG wanita berusia 38 tahun dipercayai dipukul, meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Kajang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suami mangsa yang menghantarnya ke hospital, tidak dapat dikesan sejurus selepas mangsa disahkan meninggal dunia.

Mohd Zaid berkata jururawat hospital berkenaan memaklumkan kepada pihak polis bahawa wanita itu telah meninggal dunia pada 12.15 pagi Ahad (23 Julai).

ARTIKEL BERKAITAN: Padah dera anak dengan 'hanger' sehingga maut! Pasangan suami isteri ditahan

"Mangsa dihantar ke hospital oleh suaminya yang kemudian menghilangkan diri selepas mendapat tahu isterinya itu sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan awal mendapati wanita itu mengalami kesan lebam dan kecederaan di seluruh badan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat, tambahnya.

"Terdapat kesan lebam dan pelbagai kecederaan di seluruh badannya dan pakar patologi mengesahkan punca kematiannya akibat dipukul dengan objek tumpul sehingga menyebabkan pendarahan dalaman yang serius.

"Kami percaya kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Sungai Long," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan polis sedang menyiasat motifnya, kata Mohd Zaid.

Tambah beliau, polis kini sedang mengesan suami mangsa yang dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed bagi membantu siasatan.

"Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supt R. Umesh di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain