KECOH di media sosial mengenai kewujudan individu yang rancak mengaut keuntungan melampau daripada pelanggan. Melalui satu ciapan di Twitter, seorang wanita menzahirkan rasa kecewa apabila mendapati sebuah sofa terpakai dijual pada harga yang tidak masuk akal. Sofa dengan tiga tempat duduk itu dipamerkan pada harga RM500 di Carousell, sebuah platform yang sinonim dengan urusan jual beli barangan baharu dan terpakai. Situasi menjadi lebih panas apabila sofa tersebut didakwa diberikan secara percuma kepada penjual oleh pemilik asal. Penjualan sofa ini menimbulkan kemarahan. "Ya aku bitter (tak puas hati). Orang tu bagi free dekat grup Facebook. Dia dapat, lepas tu pergi jual balik dekat Carousell. "Dah la gambar dekat Carousell pun pakai gambar yang pemilik asal letak dalam grup Facebook, tak ada usaha langsung nak gambar ambil sendiri. "Yang terbaharu aku tengok, dia dah naikkan harga tu jadi RM600," ujar wanita itu geram. Menyedari mungkin apa yang dilakukannya itu salah, penjual tersebut kemudianya dikatakan telah memadam hantarannya itu di platform Carousell. "Dia pun dah delete post tu. Tak ada dah dekat Carousell. Iktibarnya, korang jual je la semula kalau rasa benda tu OK. "Cumanya, usaha la sikit ambil gambar sendiri. Jangan benak pemalas sangat pergi post gambar yang sama. Begitu je boleh kantoi," kata wanita itu sinis. Tangkap layar perbualan wanita itu dengan pemilik sofa tersebut. Menjengah ke ruangan ciapan balas, seorang warga maya memberikan pandangannya dalam hal itu. "Dari segi perundangan, dia tak salah nak buat macam tu. Tapi tak beretika la. Tinggi juga dia naikkan harga tu," kata warga maya tersebut. Wanita itu yang dipercayai mengenali pemilik sofa tersebut secara peribadi mengatakan niat individu berkenaan mahu memberikan sofa itu kepada mereka yang benar-benar memerlukan. "Pemilik tu dah cakap, dia tak nak bagi dekat orang yang ada niat nak jual sofa tu. Dia nak bagi dekat orang yang betul nak pakai dan memerlukan. "Ini perbualan saya dengan pemilik tu, dia cakap, saya bagi dia free, bukan untuk dijual," kata wanita itu menjelaskan situasi. Beberapa warga maya lain juga menzahirkan ketidakpuasan hati dengan apa yang berlaku. "Untung atas angin macam tu je. Semua orang nak buat duit tapi bukan begini caranya. "Pemilik dah bagi kepercayaan dan amanah untuk pakai sofa tu tapi dia masih nak jual, kalau tak memerlukan jangan ambil. Ada ramai lagi yang nak," kata warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube