suria

‘Lepas’ beli rumah, belum ada bajet untuk perabot! Pasangan bahagia makan beralaskan plastik hitam... Satu komen netizen buat ramai tersentak

Pasangan ini menjamu selera di dalam rumah baharu milik mereka.

FASA awal dalam mendirikan rumah tangga memerlukan kesabaran dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi.

Buat yang pertama kali melangkah ke alam perkahwinan, tekanan kewangan pastinya antara perkara yang menjadi kerisauan.

Namun, melalui satu video tular di TikTok, dapat dilihat perkongsian menyentuh hati memaparkan pasangan suami isteri menerima seadanya situasi semasa mereka yang serba kekurangan.

Dalam video pendek itu, pasangan tersebut dikatakan baru berpindah ke rumah baharu yang dibeli mereka dan masih belum berkemampuan untuk melengkapi kediaman dengan perabot dan dekorasi.

Pasangan itu dilihat bersama-sama menjamu selera di atas lantai dengan hanya beralas sehelai beg plastik hitam dengan keadaan di sekeliling rumah mereka kosong.

"Ini perspektifnya apabila anda hanya ada duit cukup-cukup untuk beli rumah dan sekarang dah tak ada duit nak beli perabot.

"Tak mengapa, buat masa sekarang rumah dulu, nanti ada rezeki masuk kita beli perabot, Amin," tulis pasangan itu dalam video, optimis.

Mereka diperhatikan menjamah nasi campur lauk ayam goreng yang dipercayai dibungkus dari gerai makan.

Pasangan suami isteri ini dilihat ceria memasuki rumah baharu mereka.

Selesai menikmati hidangan, si isteri mengangkat beg plastik hitam yang menjadi alas tempat duduk mereka berserta bekas-bekas makanan untuk dibuang ke dalam tong sampah.

Menjengah ke ruangan komen, terdapat satu ulasan warga maya yang mencuri tumpuan ramai.

"Alhamdulillah syukur, jangan risau, ada sesetengah keluarga yang lengkap perabotnya tetapi tak berpeluang untuk duduk sekali makan bersama," kata pelayar berkenaan.

Komen yang membuka mata tersebut membuatkan rata-rata warga maya berfikir sejenak dan masing-masing menceritakan perspektif mereka dalam hal itu.

"Betul, saya pernah nampak ada yang duduk serumah tapi semua buat hal masing-masing. Rumah hanya tempat mandi dan tidur. Makan pun masing-masing dekat luar.

"Antara rules dalam keluarga saya dari kecil, makan kena berjemaah. Tak kisah la kau baru lepas kena bantai dengan mak atau ayah ke, masa makan semua kena ada dekat meja walaupun kau tengah tersedu-sedu menangis.

"Benda-benda macam ni yang kau akan ingat apabila keluarga kau dah stabil dalam 10 tahun akan datang, struggle yang korang lalu bersama sebelum akhirnya boleh hidup selesa.

"Ketika makan ni la masanya untuk kita bercerita tentang hari-hari kita dengan keluarga, gelak sama-sama, waktu lain biasanya semua sibuk sampai tak sempat tanya khabar," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain