suria

Berang 5 lelaki buat bising uji sistem audio kereta, warga emas hayun pisau pemotong daging ditahan polis

Tangkap layar video tular di media sosial.

SEORANG warga emas berusia 69 tahun dan anak lelakinya, 33, ditahan kerana didakwa mengugut lima lelaki dengan menghayunkan pisau pemotong daging ke arah mereka.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi di hadapan bangunan lot kedai, berhampiran rumah mereka.

Katanya, kedua-dua mereka mengamuk akibat berang dengan individu yang membuat bising ketika menguji sistem audio kereta berhampiran kediaman mereka, di Jalan Bukit Assek, Sibu, Sarawak pada Sabtu.

"Kedua-dua lelaki dicekup selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 2.07 petang.

"Senjata yang digunakan turut dirampas," katanya dalam kenyataan Ahad.

Zulkipli berkata, punca kejadian kerana suspek berang dengan bunyi bising sistem audio kereta yang diuji di sebuah kedai aksesori audio yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka.

"Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan beberapa lelaki iaitu pelanggan kedai aksesori audio berkenaan.

"Suspek bertindak mengugut dan menghayunkan senjata iaitu pisau pemotong daging namun tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Zulkipli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain