SUASANA sayu menyelubungi pengebumian Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam. Ratusan menghadiri solat jenazah di masjid dan upacara pengebumian jenazah di tanah perkuburan. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Huda Kampung Jerong, di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 4 petang Ahad. Solat jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz. -Gambar ZHAFARAN NASIB/The Star Terdahulu, ibu Allahyarham, Jamilah Ismail tidak dapat menahan kesedihan ketika jenazah anaknya dibawa masuk ke dalam van jenazah di Masjid Jamek Ar Rahimiah di Klang, Selangor. Van jenazah bergerak ke kampung halaman Allahyarham di Sidam, Sungai Petani, Kedah dengan diiringi polis. Allahyarham penghantar makanan itu merupakan jenazah pertama yang sah dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA). ARTIKEL BERKAITAN: Merangkak sebut Allah sambil minta tolong, saksi terkilan, tak boleh tidur gagal selamatkan rider ARTIKEL BERKAITAN: Perjalanan terakhir Allahyarham Muhamad Hafiz diiringi air mata ibu, jenazah dihantar pulang ke Sungai Petani untuk urusan pengebumian Sementara itu, Allahyarham Muhamad Hafiz, dikategorikan sebagai ‘rider’ (penunggang) terbaik Foodpanda. Perkara tersebut dikongsikan oleh Foodpanda menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, pada Jumaat. Foodpanda yang memuat naik poster turut menzahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa yang berasal dari Taman Sidam, Sungai Petani, Kedah. Allahyarham Muhamad Hafiz maut dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam. Pada Khamis lalu, seramai 10 individu termasuk lapan orang di dalam sebuah pesawat ringan terbunuh selepas pesawat itu terhempas berhampiran Elmina di Selangor. Turut terkorban, Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Umno Bahagian Bentong, Datuk Seri Johari Harun yang berada di dalam pesawat berkenaan. Seorang pemandu e-hailing dan seorang pekerja penghantaran makanan yang menunggang motosikal di laluan tersebut, turut maut apabila pesawat itu terhempas. Mereka dikenal pasti sebagai Sharipuddin Shaari dan Muhamad Hafiz. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube