suria

Seekor kucing terselamat nahas pesawat… Kulit Oyen terkoyak 14cm, kaki depan terkehel

Gambar kanan menunjukkan keadaan Oyen semasa mendapatkan rawatan sementara dari KKM.

RUPA-RUPANYA seekor kucing turut terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Elmina dekat Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas.

Pun begitu, kucing yang lebih sinonim dengan panggilan oyen itu terselamat daripada tragedi menyayat hati yang meragut 10 nyawa termasuk penunggang motosikal penghantar makanan dan pemandu e-hailing.

Oyen kini dalam jagaan Klinik Haiwan Zul Erwan selepas diselamatkan pihak perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) pada hari tersebut.

Menurut Dr Zul Erwan, kucing malang itu mengalami luka di bahagian kiri badan selain kulit terkoyak lebih kurang 14 sentimeter (cm) di bahagian rusuk.

Oyen kini dijaga di Klinik Dr Haiwan Zul Erwan.

Oyen kini dijaga di Klinik Dr Haiwan Zul Erwan.

“Oyen mengalami luka bahagian kiri badan, kulit terkoyak lebih kurang 14cm di bahagian rusuk.

“Tangan kanan Oyen juga tempang (weight bearing lameness) mungkin terseliuh akibat terkejut dan melompat untuk menyelamatkan diri semasa kejadian tu,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut beliau lagi, Oyen merupakan seekor kucing jantan yang dipercayai berada di sekitar kawasan tragedi.

Ia kemudiannya diselamatkan kerana mengalami kecederaan yang teruk dan diberikan rawatan sementara ketika dalam perjalanan oleh pihak KKM.

Tambahnya, kucing tersebut terus dihantar ke kliniknya untuk rawatan susulan.

“Oyen masih dalam rawatam. Buat masa ini dalam jagaan klinik,” kata pemilik klinik yang sudah beroperasi sejak 2012.

Pada Khamis, sebuah pesawat persendirian terhempas di Elmina dekat Denai Alam, Shah Alam.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada pukul 2.08 petang, dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Seramai 10 individu termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, maut dalam nahas tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain