suria

Kelebihan seorang hafiz al-Quran, jasad uztaz Idris terpelihara... Hanya pakaian Allahyarham hangus terbakar

Jenazah ustaz Idris akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Barak Benus, Bentong, Pahang.

KEBESARAN Allah dizahirkan apabila jenazah Allahyarham ustaz Idris Abdol Talib @ Ramali yang terlibat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas di Elmina dekat Shah Alam, Selangor pada Khamis tidak hangus terbakar.

Perkara tersebut dimaklumkan ahli keluarganya semasa mengendalikan jasad arwah.

Malam menerusi perkongsian Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, tragedi yang berlaku itu hanya membuatkan pakaiannya saja yang terbakar.

“Al-Fatihah. Baru sahaja selesai menziarahi keluarga beliau di Taman Ketari, Bentong Pahang. Terharu dapat makluman daripada keluarga arwah bahawa jasadnya tidak hangus terbakar, hanya pakaian saja yang terbakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang terlibat nahas dah 4 tahun menduda, bapa akan jaga tiga cucu - “Yang perempuan paling terkesan, bongsu belum faham”

ARTIKEL BERKAITAN: Suasana sayu, ratusan hadir pengebumian... Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

“Allahuakbar. Almarhum ustaz Idris adalah merupakan seorang hafiz Al-Quran. Semoga semua roh arwah bersama para solihin dan ditempatkan di syurga yang tertinggi,” tulisnya selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Ketari, Bentong Pahang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak masing-masing berusia 14 tahun, 10 tahun dan 54 hari.

Beliau juga adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa.

Namun Allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas sama.

Siti Zailah (dua kanan) selepas menziarahi keluarga Allahyarham Idris.

Siti Zailah (dua kanan) selepas menziarahi keluarga Allahyarham Idris.

Difahamkan jenazah Idris akan dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ke Masjid Tengku Sulaiman Ketari, Bentong pada Ahad untuk memberi peluang kepada ahli keluarga dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Solat jenazah kali kedua akan turut dilakukan sebelum bergerak ke Tanah Perkuburan Barak Benus.

Sebelum itu, sekitar pukul 9 pagi, solat jenazah pertama dilakukan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang.

Ahli keluarganya turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam bantuan tragedi tersebut.

Pada Khamis, pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.48 petang bagaimanapun dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain