suria

Pelari bertongkat bakal dibawa jumpa pakar prostetik, Hannah Yeoh kagum semangat juara kanak-kanak kudung kaki

Hannah Yeoh mahu bantu Muhamad Aqil menyertai lebih banyak acara sukan.

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi jaminan untuk membantu kanak-kanak kudung kaki, Muhammad Aqil yang tular selepas menyertai acara larian menggunakan tongkat baru-baru ini.

Menurut Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Sukan Negara (ISN) juga telah membuat persiapan untuk bertemu dengan pakar prostetik minggu ini bersama keluarga murid berkenaan.

"Saya melihat usaha adik Muhammad Aqil menamatkan lariannya. Ini adalah mentaliti seorang juara. Tiada alasan untuk tidak bertanding. Tiada alasan untuk tidak bersaing dalam perlumbaannya dan dia membuktikannya apabila melakukan yang terbaik dengan keadaannya.

"Muhammad Aqil mempunyai pemikiran seorang juara. Ini adalah mentaliti yang diperlukan, seperti yang diterapkan dalam inisiatif Road to Gold. Saya menghargai usaha dan menyanjungi Muhammad Aqil. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu dia menjadi yang terbaik," katanya menerusi satu kenyataan pada petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal atlet para Malaysia! Kanak-kanak kaki kudung ‘menang’ di hati netizen... Ibu menangis tengok anak sampai garisan penamat

Menurut Hannah, dia juga akan berusaha untuk membantu Muhammad Aqil menyertai lebih banyak aktiviti sukan pada masa akan datang.

Untuk rekod, Muhammad Aqil merupakan pelajar Program Pendidikan Inklusif Penuh (PPI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 1, yang dipotong kaki kirinya pada 2015 akibat jangkitan kuman.

Terdahulu, mStar melaporkan kisah Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11, yang bejaya sampai ke garisan penamat dalam perlumbaan 100 meter dengan menggunakan tongkat semasa menyertai Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas di Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain