ISU kos sara hidup dengan subsidi merupakan dua perkara yang saling berkait rapat. Pemberian subsidi terhadap sebahagian barangan keperluan asas merupakan usaha kerajaan dalam meringankan beban rakyat terutama golongan B40 atau golongan rentan. Justeru, kerajaan yakin program subsidi bersasar yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan berupaya menjadi titik tengah bagi mengimbangi 'poket rakyat' dan fiskal negara. Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, kementeriannya akan membangunkan satu mekanisme bagi mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi. ARTIKEL BERKAITAN: Jaya Grocer GrabMart tawar Jualan Rahmah sambut seruan kerajaan! Belanja RM18 boleh pesan 3 hidangan dengan Pakej Rahmah melalui GrabFood "Barang-barang keperluan sememangnya kementerian lakukan apa yang patut untuk mengawal harga dan kalau boleh, kita subsidikan. Gas untuk memasak pun kita subsidikan. "Apabila berbincang mengenai subsidi bersasar, kita mengambil kira juga peniaga mikro ini. Sebelum ini, kita hanya mengambil kira keperluan domestik atau isi rumah sahaja. "Sebagai contoh, minyak masak... sebanyak 60 juta paket sebulan kita subsidikan. Kita ada lebih kurang 8 juta keluarga, dan ikut statistik setiap keluarga memerlukan kira-kira 4.6 kilogram (kg). Kalau kira secara kasar, tak sampai 60 juta paket. "Tapi peniaga mikro juga memerlukan minyak masak paket ini. Dengan data yang lengkap, kita membangunkan satu mekanisme untuk membantu dan mengenal pasti B40, M40 dan peniaga mikro sebagai layak menerima subsidi," katanya ketika program Analisis TV Al Hijrah, ‘Kos Sara Hidup: Rakyat Terbeban, Sampai Bila Harga Barang Nak Naik?’, baru-baru ini. Pengguna digalakkan untuk membuat aduan sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga barangan melebihi harga yang ditetapkan. –Gambar Raja Faisal Hishan/The Star Selain pemberian subsidi, kerajaan melaksanakan harga maksimum beberapa barangan keperluan utama seperti RON95, diesel bersubsidi, LPG kegunaan domestik, gula pasir putih, tepung gandum kegunaan am, minyak masak bersubsidi polibeg 1kg, minyak masak kemasan botol dan beberapa lagi barang keperluan lain. Fuziah berkata, KPDN melaksanakan kawalan yang berterusan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna demi mengaut keuntungan berlebihan bagi suatu barangan dan perkhidmatan. Jelas beliau, kementerian juga memastikan kenaikan harga barangan atau caj bagi perkhidmatan yang dilaksanakan adalah terkawal. Dalam memastikan kos sara hidup rakyat dapat dikawal dengan baik, antara strategi dan pendekatan KPDN adalah program penyeragaman harga (PPH), program pembangunan francais mikro dan francais mampu milik, dan aplikasi 'Price Catcher' untuk mendayaupayakan pengguna supaya lebih bijak berbelanja melalui perbandingan harga. Program Analisis TV Al Hijrah, ‘Kos Sara Hidup: Rakyat Terbeban, Sampai Bila Harga Barang Nak Naik?’ yang menampilkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh dan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur. Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur yang juga merupakan panel program berkenaan, menekankan mengenai kepentingan kerajaan dalam menangani isu orang tengah yang sering menjadi punca kenaikan harga barang. "Harga sememangnya dikawal kerajaan yang dibantu oleh dasar penetapan harga siling, dan sebagainya. Namun kalau dalam ekonomi, kita panggil sebagai pasaran persaingan sempurna yang harga bukan ditentukan oleh peniaga semata-mata tapi permintaan dan penawaran. "Bagi mengawal barangan supaya mencukupi, harga tidak tinggi, pertama sekali adalah dengan penguatkuasaan. Namun, kerjasama daripada pengguna juga amat diperlukan. Jika ada kesalahan, cepat-cepat buat aduan. "Banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan namun apa yang kita lihat adalah keberkesanannya. Pastikan harga tidak dikawal oleh orang tengah supaya pengguna terkekang boleh mendapatkannya secara langsung. "Kerajaan perlu terus bekerja dalam hal ini, dibantu pengguna dan peniaga. InsyaAllah masalah ini boleh dikurangkan," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube