AIR kumbahan sering dikaitkan dengan pepatah Inggeris, ‘Out of sight, out of mind’, yang bermaksud ‘Di luar pandangan, oleh itu tidak terlintas di fikiran’. Malaysia sememangnya mempunyai sistem pembetungan yang cekap dan sistematik. Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.7 bilion dalam Rolling Plan 3 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk membangunkan infrastruktur mampan menerusi pelaksanaan projek pembetungan di seluruh negara. Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pembetungan dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang efisien serta mampan. Setakat ini, Malaysia telah mencapai kadar perkhidmatan pembetungan bersambung sekitar 85.4 peratus di bandar-bandar utama dan kerajaan menyasarkan untuk mencapai 90 peratus liputan pembetungan menjelang akhir RMK12 pada 2025. Usaha ini sejajar dengan Teras Strategik Utama Malaysia Madani iaitu menjamin kesejahteraan rakyat selain selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-6, iaitu untuk memastikan ketersediaan dan kelestarian pengurusan air serta sanitasi untuk semua. Namun, masih ada antara kita yang kurang menghargai kepentingan sistem pembetungan atau tidak pernah terfikir ke mana perginya air sisa kumbahan selepas ia meninggalkan tandas kita. Kemungkinan kita sudah terbiasa dengan sistem pembetungan yang baik kerana dengan hanya mengepam tandas, air kumbahan itu akan hilang dari pandangan. Bagi sistem pembetungan bersambung, air kumbahan akan terus masuk ke dalam paip pembetungan bawah tanah, sebelum dirawat di loji-loji rawatan kumbahan bagi mencegah sebarang pencemaran atau penularan penyakit bawaan air. Enap cemar yang tidak dikosongkan dari tangki septik akan memudaratkan alam sekitar. Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Narendran Maniam berkata, di Malaysia, terdapat dua jenis sistem pembetungan utama yang diguna pakai bagi menguruskan air kumbahan iaitu sistem perkhidmatan pembetungan bersambung dan sistem pembetungan tradisional seperti tangki septik, tandas palong atau curah. Bagi sistem pembetungan bersambung, air kumbahan akan mengalir daripada premis melalui jajaran paip pembetungan ke loji untuk rawatan sebelum dilepaskan ke sungai. Paip Pembetungan dan Loji Rawatan Air Kumbahan Awam diselenggara oleh IWK. Sementara itu, tangki septik merupakan sistem pembetungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk menyimpan air kumbahan dan enapcemar secara sementara. Enap cemar yang memasuki tangki ini akan mendap ke dasar tangki dan air di permukaan yang lebih jernih akan mengalir keluar menuju ke longkang atau parit. Ini adalah proses yang kurang efektif dan lama-kelamaan, tangki tersebut akan penuh dan perlu dikosongkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali tertakluk kepada kapasiti tangki dan isi rumah, untuk mencegah enap cemar keluar terus ke dalam longkang atau parit. Amalan membuang lemak, minyak dan gris (FOG) ke dalam singki dapur akan menyebabkan saluran paip pembetungan tersumbat. Pengosongan tangki septik adalah penting bagi mengelak enap cemar terkumpul menjadi penuh dan keras, sehingga boleh memudaratkan alam sekitar dan sistem pembetungan di premis berkenaan. Bagaimanapun Narendran berkata, IWK telah mengeluarkan 627,000 notis penjadualan pengosongan tangki septik kepada premis yang menggunakan sistem tangki septik. “Daripada 627,000 notis yang dikeluarkan sejak 2021, hanya 8.8 peratus telah memberi maklum balas kepada IWK berhubung tarikh yang mereka ingin menjalankan perkhidmatan pengosongan tangki septik,” katanya. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis yang bersambung dengan tangki septik atau mempunyai tangki septik perlu melakukan nyahenap cemar (pengosongan) secara berjadual. Pihak IWK memohon pertimbangan pemilik premis yang menggunakan tangki septik individu supaya mengosongkan tangki tersebut secara berkala bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Mengenai sistem pembetungan bersambung, Narendran memberitahu, kesedaran mengenai kepentingan membayar bil pembetungan dalam kalangan pelanggan IWK yang menggunakan sistem bersambung adalah semakin tinggi. Beliau berkata, ini dapat dilihat daripada peningkatan jumlah kutipan bil semasa dan bil tertunggak pada tahun lepas. Jelasnya lagi, kutipan tersebut digunakan untuk pengoperasian syarikat dalam mengendalikan hampir 7,500 loji rawatan air kumbahan awam dan lebih 22,000 kilometer (km) jajaran paip pembetungan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan. “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan IWK yang memahami dan memenuhi tanggungjawab masing-masing dalam membayar bil perkhidmatan selama ini. “Trend ini adalah sesuatu yang menggalakkan kerana membuktikan bahawa ramai menyedari kepentingan penyelenggaraan sistem pembetungan,” tambah Narendran. Selain itu, Narendran turut menekankan bahawa semakin ramai pelanggan IWK yang turut beralih kepada penggunaan bil elektronik, berbanding bil cetak. “Dengan beralih kepada e-bil, IWK bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran kertas dan kesannya terhadap alam sekitar, malah pelanggan juga dapat menikmati sistem pengurusan bil yang lebih lancar, dan terus ke telefon bimbit tanpa menunggu bil cetak tiba di rumah,” katanya lagi. Untuk keterangan lanjut berhubung perkhidmatan IWK, layari iwk.com.my. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube