suria

Dr Musa mohon maaf, perjelas banyak salah faham isu himpunan ‘Freedom for Palestine’ - “Kita tidak sepatutnya ke tahap Zionis”

Peserta himpunan Freedom for Palestine membawa plakad, bendera dan poster. -Gambar Azhar Mahfof/The Star

SELEPAS mendapat kritikan pelbagai pihak, penganjur himpunan aman 'Freedom for Palestine' tampil membuat permohonan maaf susulan beberapa insiden yang berlaku pada himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka, pada Ahad.

Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin menerusi ciapan di laman X menjelaskan, pihaknya hanya mengikuti garis panduan yang selaras dengan arahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

"PDRM memberi arahan yang jelas kepada pasukan keselamatan kami untuk mengambil tindakan pantas terhadap ucapan kebencian, poster dan ejen provokator yang berniat untuk menggagalkan perhimpunan kemanusiaan dan aman kami.

"Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami," katanya dalam ciapan tersebut pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Dilabel ‘zionis’ kerana bawa plakad kutuk Netanyahu, peserta himpunan Dataran Merdeka tuntut penganjur mohon maaf! Pelik laung takbir pun dilarang

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur nafi larang laung Allahuakbar, mahu peserta himpunan beradab

Dalam pada itu, Dr Musa turut menafikan dakwaan terdapat peserta dilabel sebagai 'zionis' kerana membawa plakad yang memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai 'syaitan'.

"Saya tidak melabelkannya (sebagai Zionis). Saya sebenarnya menjelaskan bahawa kita harus menghormati adab dan kesopanan perhimpunan kita, kita tidak sepatutnya ke tahap Zionis," jelasnya.

Berhubung laungan takbir 'Allahuakbar' pula, beliau menegaskan perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu kerana ramai tetamu jemputan turut melaungkannya ketika berucap termasuk Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Terdahulu, himpunan 'Freedom for Palestine' anjuran VPM dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dikecam teruk di media sosial kerana didakwa menyamakan segelintir peserta himpunan seperti rejim zionis gara-gara membawa plakad wajah 'syaitan' Netanyahu, selain didakwa melarang laungan 'Allahuakbar'.

Peserta meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana himpunan tersebut dilihat gagal membawa matlamat untuk menunjukkan solidariti terhadap penindasan yang berlaku di Palestin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain