DETIK cemas perlu dihadapi seorang anggota polis apabila dia diseret kereta yang dipandu suspek kes samun. Dalam kejadian di Masjid Labu Kubong, Teluk Intan, Perak pada Isnin, suspek bertindak agresif untuk melarikan diri ketika cuba ditahan pihak polis. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata dua suspek yang berusia 28 tahun dan 31 tahun itu diekori pihak polis dari Ipoh selepas menerima aduan kejadian samun bersenjatakan parang jam 11.30 pagi. Menurutnya, semasa proses tangkapan, suspek yang menaiki Perodua Myvi membuat pusingan U secara tiba-tiba dan mengundurkan kenderaannya hingga melanggar bahagian hadapan kenderaan polis. "Anggota polis kemudiannya keluar daripada kenderaan dan cuba membuka pintu belakang kereta suspek untuk melakukan tangkapan ke atas seorang suspek yang duduk di bahagian belakang. "Bagaimanapun, ia gagal kerana suspek nekad mengundur secara berbahaya dan menyeret anggota polis tersebut. "Pihak polis kemudian terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah cermin hadapan kereta yang dinaiki suspek untuk mempertahankan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa. Barang yang dirampas daripada suspek dalam kejadian. Tambah Ahmad Adnan, suspek terus memandu secara mengundur sehingga dihalang oleh sebuah kenderaan lain. "Semasa dihalang, suspek di bahagian belakang kereta keluar dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh polis. "Setelah itu, seorang lagi suspek di dalam kereta memandu kenderaan ke hadapan dan mengundur beberapa kali sehingga berjaya melarikan diri, namun ditahan semula oleh polis di Kampung Rapat, Ipoh. "Suspek luka di bahagian bahu sebelah kanan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh," katanya. Ahmad Adnan berkata anggota polis yang diseret tidak mengalami kecederaan. Semakan mendapati suspek yang memandu kereta terbabit mempunyai 24 rekod jenayah, manakala seorang lagi memiliki 11 rekod lampau. "Polis juga berjaya menemukan paket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun semasa tangkapan dilakukan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube