suria

Jijik! Lepas berak dalam surau, lelaki ini mengamuk baling kerusi... Jumpa bukti ada najis di tempat wuduk

Seorang lelaki didakwa membuang air besar di tempat wuduk surau.

TANDAS awam banyak disediakan di negara ini, malah kebanyakan restoran juga turut dilengkapi dengan kemudahan itu.

Namun malangnya masih ada dalam kalangan masyarakat yang tidak bertanggungjawab apabila sanggup membuang air besar merata-rata, seperti di kawasan surau.

Kecoh di media sosial mengenai penemuan najis manusia di tempat jemaah mengambil wuduk.

Menerusi video yang tular, seorang lelaki bertindak di luar kawalan selepas ditegur kerana didakwa membuang air besar di tempat wuduk di dalam surau.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah surau di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

“Seorang lelaki bertindak agresif apabila ditegur berak di surau awam,” demikian menurut keterangan video tersebut di TikTok.

Lelaki berkenaan bertindak di luar kawalan mengejar perakam.

Rakaman berdurasi kira-kira tiga minit itu menunjukkan lelaki yang didakwa membuang air besar itu mengejar individu yang merakamnya sehingga ke sebuah restoran berdekatan.

Kedua-dua mereka saling berkejaran di dalam dan di luar premis makanan itu.

Keadaan bertukar kecoh sambil disaksikan orang awam yang merupakan pelanggan di restoran apabila pelaku membaling sebuah kerusi ke arah perakam.

Sementara itu, menerusi hantaran berasingan di TikTok pada Khamis malam, individu yang memuat naik video berkenaan menegaskan bahawa kejadian yang dirakam bukan untuk dijadikan content di media sosial.

“Bukan sekadar content! Kejadian berlaku di Shah Alam pada 25 Oktober 2023. Hari ini pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

“Demi keselesaan penduduk di kawasan sekitar. Syabas pihak Majlis Bandaraya Shah Alam kerana mengambil tindakan pantas,” ujarnya yang memaklumkan kes tersebut telah selesai.

Dalam hantaran terbaharu itu juga turut dikongsikan gambar sekumpulan petugas yang datang ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh MBSA mahupun polis berhubung kejadian tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain