suria

Isteri maut, suami pula parah di Lebuh Raya Persekutuan... Pemandu kereta larikan diri!

Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kereta di Lebuh Raya Persekutuan. -Gambar PDRM

SEORANG penunggang motosikal cedera parah manakala pembonceng yang merupakan isterinya maut dalam kejadian langgar lari pada tengah malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di Kilometer (KM) 18.6 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.05 pagi.

Kata Fakhrudin, ketika kejadian mangsa menaiki motosikal Yamaha Sport dari Batu Tiga menghala Lembah Subang, Petaling Jaya, Selangor sebelum dilanggar sebuah kereta.

“Siasatan awal mendapati suami yang berusia 76, manakala isterinya 58, dilanggar sebuah kereta kira-kira pukul 12.36 tengah malam.

“Kereta terbabit terus melarikan diri selepas insiden itu. Wanita berkenaan maut manakala suaminya dilaporkan mengalami cedera parah.

“Mangsa cedera parah sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membuat laporan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Najib Mohd Azaman di talian 012-3526147 bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain