suria

Hakim sebak jatuhkan hukuman penjara 14 tahun kepada ibu tunggal, tomboi dera anak

Seorang ibu tunggal (kanan) dan rakan serumahnya dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya.

SEORANG ibu tunggal dan rakan serumahnya yang pernah mendapat perhatian negara beberapa bulan lalu gara-gara menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya, akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim VM Mabel Sheela terhadap ibu tunggal berusia 27 tahun dan rakan serumahnya, Awiin Chua, 30, dalam penghakimannya pada Rabu.

Mabel Sheela turut tidak dapat menahan sebak ketika penghakimannya kerana mengenangkan penderitaan serta kesakitan yang ditanggung oleh mangsa yang merupakan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.

"Pertalian ibu dan anak adalah sangat istimewa, kalau awak (merujuk kepada ibu mangsa) tanya anak adakah dia mahu mengikut awak, pasti dia akan mahu ikut, walaupun tahu akan merasa sakit.

"Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa jika keadaan berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa akan meninggal dunia," katanya sebak.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan budak lelaki ‘berlubang’, melepuh dipercayai didera ibu dan housemate pengkid... Menangis dikantoikan jiran-jiran!

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir dalam penghujahannya memaklumkan terdapat lebih 20 kecederaan fizikal pada tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan yang dilakukan pakar perubatan.

Awal Ogos lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita iaitu ibu kandungnya dan rakan serumahnya yang merupakan wanita berperwatakan lelaki (tomboi).

Insiden malang yang menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran menyerbu rumah suspek yang terletak di kawasan perumahan Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

Kedua-dua wanita berkenaan juga dilihat menangis teresak-esak apabila jiran-jiran mula menyelak bahagian belakang baju budak lelaki itu untuk memeriksa bukti penderaan.

Lebih mendatangkan kemarahan penduduk, mereka mendapati belakang badan kanak-kanak tersebut mengalami luka yang teruk dipercayai akibat didera.

Situasi itu mendatangkan kemarahan jiran sekeliling yang difahamkan segera bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Pada 16 Ogos lalu, kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, pada 27 September lalu, kedua-dua mereka menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Mabel Sheela.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain