suria

‘Hamba Allah’ dari Pasir Gudang menang bidaan tertinggi jam tangan Rolex, menangis dalam pertemuan dengan Dr Zulkifli

Pembida dari Pasir Gudang, Johor memenangi bidaan tertinggi jam tangan Rolex milik Dr Zulkifli. -Gambar Twitter Dr Zulkifli

PEMILIK baharu jam tangan jenama Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad, menangis selepas berjaya membuat bidaan harga tertinggi iaitu RM135,000.

Bercakap dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasminya, Zulkifli berkata beliau sejujurnya terkejut apabila pembida berkenaan adalah individu yang dikenalinya.

Pembida itu yang enggan dikenali dan berasal dari Pasir Gudang, Johor memenanginya pada tujuh minit terakhir sebelum tempoh bidaan ditutup pukul 12 tengah malam semalam (Selasa).

dr zul 2

Dr Zulkifli menyerahkan jam tangan Rolex kepada 'Hamba Allah' berkenaan.

Menurut Zulkifli, pembida berkenaan telah hadir ke pejabatnya sekitar pukul 3.15 petang Rabu untuk menyerahkan wang tunai berkenaan.

"Saya tanya kepada beliau, 'mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada tujuh minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?’

"Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin," ujarnya.

Tambah Zulkifli, sejumlah RM100,000 daripada wang hasil bidaan tersebut akan diserahkan kepada pelarian Palestin di Amman, Jordan menerusi Muslim Care Malaysia (MCM).

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Zulkifli lelong jam Rolex kesayangan bantu Palestin... Bidaan cecah RM100,000 dalam masa 4 jam!

Sementara itu baki RM35,000 akan diberikan kepada beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Aqsa Syarif, Pas Relief dan lain-lain.

"Saya dalam perjalanan ke Abu Dhabi untuk menghadiri mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar. Saya akan singgah sebentar ke Jordan untuk menyerahkan sendiri RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman, melalui Muslim Care Malaysia," katanya lagi.

mStar sebelum ini melaporkan Zulkifli melelong seutas jam tangan mewah miliknya dengan harga tapak RM40,000.

Kata Zulkifli, hasil jualan jam tangan Rolex yang merupakan hadiah daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu akan didermakan kepada rakyat Palestin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain