suria

Inspirasi lonjak potensi mahasiswa! Dr Adeeba Tokoh Akademik Negara 2023, wira tidak didendang ketika pandemik Covid-19

Dr Adeeba dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023. -Gambar SHAARI CHEMAT/The Star

DIANGKAT ke tahap tertinggi, ahli akademik memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat yang berpendidikan.

Bagi meraikan golongan intelek ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15 (AAN15) di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Figura yang mendapat pengiktirafan utama adalah pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman apabila dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023.

Anugerah terulung itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut disaksikan kehormat daripada universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Menerusi pencapaian gilang-gemilang Dr Adeeba, beliau membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM200,000.

Ramai tentunya mengenali golongan pemikir negara, Dr Adeeba sebagai pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Dr Adeeba menjawat anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah.

Antara sumbangan terbesar Dr Adeeba adalah beliau merupakan wira di sebalik tabir selaku pakar rujuk kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada awal 2020.

Ketika ditemui pemberita, Dr Adeeba mengakui terharu dengan pengiktirafan yang diterimanya dan turut memberi penghargaan kepada mereka yang membantunya untuk sampai ke tahap tertinggi pada hari ini.

“Saya harap anugerah ini akan menjadi satu inspirasi kepada ahli akademik yang lain. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua ahli sarjana di Universiti Malaya (UM) terutama di Fakulti Perubatan UM dan juga di universiti lain.

“Turut tidak dilupakan adalah pekerja sokongan. Setiap usaha ini adalah untuk pelajar-pelajar, kita mahu melahirkan graduan berkualiti dalam bidang perubatan seperti doktor, ahli farmasi dan jururawat,” kata Dr Adeeba selepas majlis AAN15.

Mohamed Khaled (tengah) menyempurnakan majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15.

Dr Adeeba mengatakan beliau berhasrat besar untuk melihat rakan seperjuangan di UM dan di universiti lain terus menjalankan tugas berkhidmat kepada bangsa dan tanah air terutama ketika negara berhadapan dengan pelbagai cabaran di peringkat dalaman dan antarabangsa.

“Graduan yang kita (ahli akademik) hasilkan haruslah bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran ini.

“Saya berasa amat bertuah sebab saya bukan sahaja dapat berbakti dari segi akademik tetapi juga memberi rawatan kepada pesakit,” ujarnya.

Dr Adeeba seterusnya mengatakan anugerah berprestij yang dirangkulnya itu bukan kejayaan milik beliau seorang.

“Sama juga seperti anugerah nobel, kita tidak bekerja semata-mata untuk mendapatkan penghargaan, kita hanya buat amanah dengan baik dan cemerlang.

"Saya tak rasa mana-mana ahli akademik bekerja semata-mata nak menang anugerah, tetapi jika kita dihargai, ia satu perkara yang baik,” kata Dr Adeeba.

Jasa Dr Adeeba sentiasa membawa manfaat kepada masyarakat kerana beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya pada 2008.

Hasil kepimpinan dan sumbangannya, CERiA telah menjadi satu daripada pusat rujukan HIV dan AIDS terkemuka di negara hari ini.

Selain itu, seramai lima ahli sarjana, ahli akademik lain juga turut dinobatkan sebagai penerima AAN15 mengikut kategori masing-masing.

Bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains dimenangi oleh Profesor Madya Dr Tan Jun Jie daripada Universiti Sains Malaysia (USM); Anugerah Penerbitan Buku, Profesor Dr Shamsul Bahri Abdul Razak (Universiti Malaysia Terengganu) dan Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan, Profesor Madya Dr Adibah Abdul Latif (Universiti Teknologi Malaysia-UMT).

Manakala, Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan diungguli oleh Dr Norliza Mohd Isa serta Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Ts Dr Mariani Abdul Hamid, masing-masing daripada UTM.

Mohamed Khaled menyampaikan ucapan pada Anugerah Akademik Negara Ke-15.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaan majlis AAN15, Mohamed Khaled menyeru ahli akademik supaya bersama-sama kerajaan untuk menghasilkan dapatan ilmu yang berupaya memimpin rakyat ke arah kemajuan sosial dan budaya yang lestari.

“Berbekalkan kesedaran itu, saya percaya kita semua boleh bertanya. Siapa lagi yang lebih layak untuk memicu dan memacu pemugaran nilai yang baik ini kepada masyarakat kita, kalau bukan ahli akademik dan golongan bijak pandai.

“Baik di IPT awam mahupun swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi, institut latihan dan vokasional hatta di mana-mana sahaja, saya melihat ahli-ahli akademik sebagai pemimpin akal masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis AAN15.

Menurut Mohamed Khaled, masyarakat sentiasa memerlukan ikon kesarjanaan dan juga suri teladan yang berketerampilan, berintegriti lagi berwibawa.

“Biar apa pun lapangan yang diceburi, kehadiran ikon dan tokoh yang dihormati akan menjadi pemangkin semangat dan kesungguhan dalam kalangan banyak pihak.

“Paling penting, ahli-ahli akademik harus menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk melonjak potensi diri yang terbaik.

“Semua proses ini memerlukan ahli sarjana, ikon pemikir dan sang murabbi yang bukan sahaja mengajar dan mendidik di peringkat pendidikan tinggi, tetapi menjadi inspirasi yang disegani kepada rakan-rakan dan orang awam,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain