suria

“Bapa jenis apa ni?” - Lelaki rogol anak tiri 105 kali dipenjara 42 tahun, 24 sebatan

Seorang anak dirogol bapa tiri. -Gambar hiasan

BAPA tiri durjana! Begitulah yang boleh digambarkan terhadap seorang lelaki yang mengaku merogol anak tirinya yang masih di bawah umur sebanyak 105 kali selama dua tahun.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan maksimum yang dikenakan terhadap penganggur berusia 36 tahun itu.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Klang yang menjatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan kerana merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 12 tahun sejak 2018.

“Bapa jenis apa ni? Satu kali pun (rogol) tidak boleh maafkan, inikan pula (lebih) 105 kali,” kata Hakim Hadhariah ketika menyampaikan keputusan panel yang menolak rayuan akhir lelaki tersebut.

Pada 7 Mac 2022, Hakim Datuk Azmi Abdullah mengetepikan hukuman penjara 1,050 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen selepas membenarkan rayuannya.

Terdahulu peguam K.A. Ramu, yang mewakili lelaki itu, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan dipenjarakan sehingga umurnya 63 tahun dan menggesa mahkamah mempertimbangkan semula untuk mengurangkan hukuman penjaranya.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menyesal dan mahu kembali kepada masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Tahir, menyifatkan perayu sebagai 'sick man' dan memberitahu hukuman penjara 42 tahun adalah wajar.

Beliau berkata, perayu melakukan kesalahan itu semasa ibu gadis berkenaan keluar bekerja.

Perayu didakwa atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way di Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.

Lelaki itu merogol mangsa sebanyak 50 kali pada 2018, 2019 (32 kali) dan 23 kali pada 2020 menjadikan jumlah 105 kali untuk tempoh dua tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain