DEMI tanggungjawab kepada anak bangsa, seorang guru sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri biarpun terpaksa menjadikan stor sebagai tempat tinggalnya. Demikian kisah yang dikongsikan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid, Sabah, George Odol. Menerusi perkongsian di TikTok, George berkata sekolah berkenaan yang dibina pada 1999 tidak mempunyai kuarters di mana guru-guru yang mengajar terpaksa menumpang rumah penduduk kampung atau tinggal di kelas yang diubah suai. "Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah membina dua unit rumah guru yang 'ala kadar' namun tidak mencukupi," katanya. Menurut George, dia yang mula berkhidmat di sekolah berkenaan pada 2020, terpaksa tinggal di stor yang hanya berkeluasan sekitar 13 meter persegi. Stor tersebut hanya mampu memuatkan papan seterika dan penggantung baju. "Agak sedih jugalah seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja. "Jadi saya terpaksa berkongsi dapur dan tandas dengan prasekolah," katanya. Di dalam stor tersebut, kelihatan hanya ada penggantung pakaian, katil dan tilam saiz bujang, papan seterika serta kipas kecil. Bagaimanapun menurut George, dia sedikit pun tidak pernah kesal apabila ditugaskan di sekolah kawasan pedalaman meskipun serba kekurangan. ARTIKEL BERKAITAN: Dari bandar ke pedalaman! Guru terkejut ‘mi goreng 4 pagi’ buat murid bersorak, anak petani hadiahkan timun segar ARTIKEL BERKAITAN: Mengajar di pedalaman, guru ‘bina’ kolam renang untuk murid... sanggup tempuh perjalanan beratus kilometer hantar kerja rumah "Kami guru-guru Kadazan Dusun terpaksa korbankan keselesaan tinggal di pekan atau bandar, datang ke pedalaman kerana murid-murid sekolah pedalaman terdiri daripada suku kaum Kadazan Dusun. "Jadi kalau bukan kami guru-guru Kadazan Dusun datang ke sini mendidik murid-murid, siapa lagi? Kami terima seadanya," katanya yang bakal bersara pada 27 November ini. Tambah George, di penghujung perkhidmatannya, sebuah rumah panjang tujuh pintu telah dibina di sekolah namun beliau memberi keutamaan kepada guru-guru yang berasal dari luar seperti daerah Telupid. Kisah guru pedalaman di Sabah dan Sarawak... kalau diceritakan satu persatu pasti akan mengungguli semua anugerah guru ikon. NETIZEN Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 53,000 jumlah tontonan. Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kagum dengan pengorbanan guru berkenaan. Malah mereka turut mendoakan beliau yang bakal bersara, selain memohon pihak yang berwajib untuk membuka mata mengenai isu berkenaan. Antara komen netizen yang mengagumi dan mendoakan Cikgu George. "Salute sama cikgu. Walaupun keadaan begini, tetap terus bermotivasi untuk menjalankan tugas. "Terbaik cikgu... semoga menjadi inspirasi kepada guru-guru lain. "Kisah guru pedalaman di Sabah dan Sarawak... kalau diceritakan satu persatu pasti akan mengungguli semua anugerah guru ikon," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube