MALAYSIA pernah tersenarai sebagai negara paling tinggi kadar obesiti di Asia Tenggara dengan kadar 15.6 peratus, menurut Laporan Semakan Populasi Dunia 2019. Malah Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS) pada 2022 mendapati 50.1 peratus dalam kalangan rakyat negara ini mempunyai masalah obesiti. Justeru tidak hairanlah ketika ini ramai yang sudah mula mempunyai kesedaran ke arah gaya hidup lebih sihat. Ini terbukti apabila PERKESO Run & Ride 2023 yang diadakan pada Ahad menerima lonjakan penyertaan hampir tiga kali ganda, sekali gus menandakan petunjuk positif ke arah tekad masyarakat beralih ke gaya hidup sihat, selari matlamat kerajaan menangani risiko penyakit tidak berjangkit (NCD). Pengerusi PERKESO, Dato' Sri Subahan Kamal (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato' Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (tengah) turut tidak ketinggalan menyertai larian. Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Malaysia yang kini menuju status negara menua menjelang 2050 memerlukan intervensi awal, termasuk 'pelaburan kesihatan'. Katanya, percaturan sedemikian wajar diberi penekanan segera memandangkan perangkaan semasa mengenai tempias negatif daripada NCD, sejak dua dekad terakhir ini amat menggusarkan. ARTIKEL BERKAITAN: Bajet 2024: RM200 juta disalur ke Perkeso, laksana 6 inisiatif "Analisis Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0 yang dilaksanakan PERKESO tahun ini mendapati 60.3 peratus daripada 70,000 orang pencarum yang menjalani saringan kesihatan sehingga Oktober lalu mengalami masalah obesiti (kegemukan), selain 18.9 peratus menghidap kencing manis, 27.3 peratus mempunyai darah tinggi dan 61.2 peratus berdepan masalah kolesterol tinggi. "Perbandingan terhadap statistik PERKESO bagi 2021 dan 2022 pula mendedahkan terdapat peningkatan jumlah pencarum yang mengalami hilang upaya atau meninggal dunia disebabkan NCD sebanyak 37 peratus. "Mengikut pengiraan secara purata, 46 kes NCD dilaporkan kepada PERKESO setiap hari pada 2021, tetapi ia melonjak kepada 63 kes NCD sehari pada 2022," katanya. Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar (empat, kanan) turut hadir sempena PERKESO Run & Ride 2023. Justeru menurut Subahan, ia adalah umpama 'wake-up call' yang tidak wajar dipandang remeh. "Jika nasi sudah menjadi bubur, pelbagai perkara lain akan turut terkesan, termasuk status pekerjaan yang akhirnya menjejaskan aspek pendapatan isi rumah," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena PERKESO Run & Ride 2023, di Dataran Wawasan, Putrajaya, pada Ahad. Tambah Subahan, 'pelaburan kesihatan' yang sebenarnya tidak memerlukan modal besar mampu memberi laba keuntungan merangkumi pelbagai aspek seperti produktiviti pekerja dan perbelanjaan perubatan, selain mengoptimumkan pengurusan fiskal negara. "Aspek fiskal negara bakal berdepan cabaran getir kerana kajian bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kos penjagaan kesihatan untuk pesakit NCD dan kehilangan produktiviti diunjur kira-kira RM22.5 bilion setahun," katanya lagi. PERKESO Run & Ride 2023 menerima jumlah penyertaan lebih 8,000 orang. PERKESO Run & Ride 2023, program kecergasan berskala besar dengan jumlah penyertaan lebih 8,000 orang anjuran PERKESO ini memasuki edisi ketujuh, sejak diadakan pada 2015. Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Dato' Amran Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM, Dato' Norison Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato' Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube