suria

Bayi 16 bulan dihantar ke hospital selepas alami sawan, rupanya positif dadah... Ibu kandung, teman lelaki ditahan polis

Bayi lelaki 16 bulan didapat positif dadah selepas dihantar ke hospital kerana sawan. -Gambar hiasan

DUA individu, dipercayai pasangan kekasih ditahan polis selepas seorang bayi lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine atau amphetamine.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, pasangan itu ditahan Selasa minggu lalu selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru membuat laporan mengenai bayi malang itu yang didapati positif dadah.

"Selepas mendapat aduan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru dan seorang wanita berusia 31 tahun di HSA.

"Wanita yang juga ibu kandung bayi berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi perempuan tiba-tiba menangis, tunjuk tingkah laku tak terkawal rupanya positif dadah... Polis tahan ibunya

Menurutnya, pasangan tersebut didapati positif dadah hasil ujian awal saringan air kencing manakala bayi berusia 16 bulan itu pula didapati positif methamphetamine atau amphetamine.

Menurutnya, pasangan itu sudah dituduh di mahkamah pada Khamis mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Mereka ditawarkan jaminan RM6,000 setiap seorang, namun tidak dapat membayar, maka masing-masing kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang," ujarnya sambil menambah kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain