suria

Ibu mengaku tidak bersalah tuduhan abai anak 2 tahun hingga maut dalam kereta

Seorang ibu mengaku tidak bersalah berikutan kes kecuaian meninggalkan anak di dalam kereta selama lebih tujuh jam.

IBU kepada kanak-kanak perempuan yang maut selepas lebih tujuh jam ditinggalkan dalam kenderaan didakwa di Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat atas tuduhan melakukan pengabaian.

Tertuduh Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, Nur Sari Fardiana didakwa melakukan kesalahan itu dengan meninggalkan anak perempuannya yang berusia dua tahun tiga bulan di dalam kereta sehingga meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Jalan PJU 1A/25, Ara Damansara antara pukul 8 pagi hingga 3.15 petang, 8 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jika disabitkan kesalahan, Nur Sari Fardiana berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang jaminan.

Bagaimanapun peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu kerana jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan adalah tinggi.

“Akibat kejadian ini anak guam pernah trauma selama sebulan. Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak berkuasa, jadi pohon satu jumlah jaminan rendah diberikan,” kata peguam.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak hakim Syaliza membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terlupa turunkan anak di tadika, kanak-kanak 2 tahun maut lapan jam ditinggalkan dalam kenderaan

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak dua tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih tujuh jam ditinggalkan dalam kereta, di kawasan perumahan Ara Damansara.

Hasil siasatan pihak polis mendapati pada pukul 7 pagi hari kejadian, tertuduh menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran.

Dia kemudian pergi ke tadika berhampiran untuk menghantar mangsa.

Bagaimanapun setibanya dia tadika, ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.

Dia kemudian terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada dalam kereta pada pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain