suria

Kes bunuh Zayn Rayyan bukan ‘straight forward’, polis dapatkan bantuan Interpol

Polis yakin suspek pembunuhan Zayn Rayyan akan dijumpai walaupun mungkin bukan sekarang.

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum berputus asa dan sedang giat mencari bukti kes pembunuhan kejam kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

Tindakan itu susulan terdapat beberapa maklumat diperoleh yang mahu disemak dengan pangkalan data Interpol.

“Ada beberapa maklumat yang diperoleh, walaupun bukan konklusif tetapi ia boleh membantu siasatan kita.

“Kita masih meneruskan siasatan, fasa kali ini menumpukan carian rumah ke rumah di blok tertentu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, Selangor pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Apartment famous sebab kes Zayn Rayyan, ejen terkedu pemilik jual unit lebih mahal - “Hari-hari masuk TV kenalah up harga”

ARTIKEL BERKAITAN: “Zayn Rayyan anak kandung saya” - Zaim Ikhwan jawab tuduhan hanya bapa tiri

Tambah Hussein, siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan merupakan cabaran besar buat pihaknya kerana disifatkan sebagai bukan ‘straight forward’, selain masih belum ada petunjuk baharu yang ditemui

"Bagi kes melibatkan ‘secondary crime scene’ (lokasi jenayah kedua), kebiasaannya kurang mendapat keterangan fizikal untuk kaitkan dengan penjenayah.

"Jadi, ini bukan satu kes ‘straight forward’, bagaimanapun kita melakukan ‘house-to-house searching’ untuk mencari bukti.

"Sebanyak 225 keterangan daripada pelbagai pihak dirakam, manakala sebanyak 248 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diambil, daripada itu, 246 sampel DNA sudah dianalisis.

"Namun, tiada keputusan positif boleh membantu siasatan ketika ini. Kami masih meneruskan aktiviti pencarian bukti hampir setiap hari di kawasan penemuan mayat mangsa dan lain-lain kawasan.

“Kita percaya suspek akan dijumpai walaupun mungkin bukan sekarang,” ujar Hussein.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan laporan kehilangan individu bernama Muhammad Saharuddin, 29, yang dikatakan kali terakhir dilihat berhampiran apartmen tempat tinggal Zayn Rayyan tidak mempunyai kaitan dengan kes.

"Ia dikategorikan sebagai kes kehilangan dan ibu bapa lelaki itu yang tampil membuat laporan," jelasnya.

Terdahulu, mayat Zayn Rayyan berumur enam tahun ditemukan di sebatang anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada 5 Disember di Damansara Damai, Selangor.

Polis mengklasifikasikan kes Zayn Rayyan sebagai kes bunuh susulan laporan bedah siasat ke atas jasadnya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain