PEKERJA sebuah pasar raya maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kuantan menghala ke Sungai Lembing dekat Taman Impian, Pahang kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa nahas adalah pemandu Proton Iswara, Muhammad Daniel Haiqal Yusdi, 24, yang tersepit di tempat duduk pemandu. Katanya lagi, siasatan mendapati lesen memandu Kelas B2 dan D milik Muhammad Daniel Haiqal tamat tempoh pada 23 Disember 2023 iaitu pada Sabtu. “Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Lembing ke Kuantan manakala pemandu SUV jenis Honda HRV bersama isteri dan dua anak dari arah bertentangan. “Sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Iswara terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan SUV tersebut. “Akibat kemalangan itu, Daniel tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut Zahari, pemandu Honda HR-V serta tiga penumpangnya cedera dan punca sebenar kemalangan sedang disiasat. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube