suria

Wanita dengar ‘perbualan’ nak tanam mayat, bawa penemuan misteri dalam belukar

Polis menyiasat kes penemuan mayat seorang lelaki yang ditanam di kawasan belukar.

MAYAT seorang lelaki ditemukan selepas jiran terdengar pergaduhan dan perbualan tentang tanam mayat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun pada pukul 11.25 malam Sabtu selepas terdengar bunyi pergaduhan di rumah di Sungai Choh, Rawang.

Pengadu kemudian terdengar perbualan antara suaminya dan abang ipar jiran yang meminta tolong untuk membantu menanam satu mayat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pergaduhan adik-beradik bawa maut... Mayat saudara ditanam belakang rumah

"Polis kemudian menahan dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 33 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.

"Siasatan awal membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki disyaki warga tempatan tanpa pengenalan diri yang ditanam dalam satu lubang di dalam belukar," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan salah seorang suspek.

Kesemua suspek yang ditahan mempunyai pertalian antara satu sama lain.

Siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.

"Kesemuanya direman selama tujuh hari," katanya.

Dipercayai empat lagi suspek masih bebas termasuk teman wanita mangsa dan abangnya.

Mangsa juga dipercayai dipukul hingga mati menggunakan senjata termasuk botol kaca dan tong besi.

Menurut Ariffin, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-61262242," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain