PEMPENGARUH media sosial dan usahawan Khairul Aming mendedahkan ramai pelanggannya sudah terpedaya dengan kewujudan produk sambal tiruan yang menyerupai produk keluarannya. Menurut Khairul Amin Kamarulzaman, 31, dia peka akan hal itu dan telah mengambil tindakan sewajarnya kerana plagiasi yang berlaku merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. "Semalam ada satu isu di mana ada satu sambal yang cuba ciplak atau tiru Sambal Nyet. Jadi ramai pelanggan tertipu, terpedaya sebab mereka ingat itu Sambal Nyet yang original, tapi sebenarnya bukan. "Kita aware kewujudan sambal ni sejak beberapa hari lepas. Tapi kita tengah kumpul bukti untuk ambil tindakan undang-undang. Kami dah beli sambalnya untuk dijadikan bukti dan jejak siapakah penjual tersebut. Produk yang dikatakan menyerupai Sambal Nyet keluaran Khairul Aming. "Sambalnya sangat identical. Kita telah kenal pasti siapakah seller dan hari ni peguam kami dah hantar letter of demand (LOD) di atas Infringement of Intellectual Property Rights and Passing Off," ujarnya. Menerusi hantaran di media sosial pada Khamis petang, Khairul Aming berkata peguam yang mewakilinya menghantar lapan tuntutan kepada peniaga tersebut. Tambahnya lagi, ia bukanlah kejadian pertama, sebaliknya sambal keluarannya juga pernah diciplak tiga tahun lalu. "Trademark Sambal Nyet didaftarkan dan diluluskan pada 2 November 2021. Jadi kami ada lapan tuntutan kepada seller. Kalau dia gagal penuhi lapan tuntutan, kita akan bawa ia ke proses undang-undang yang lagi tinggi. ARTIKEL BERKAITAN: Satu tak cukup, Khairulaming buka kilang Sambal Nyet kedua di Kota Bharu... Jualan cecah RM14 juta "Ini bukan kali pertama, ia pernah terjadi tiga tahun lepas. Tapi ada juga orang degil. Saya selalu sokong peniaga kecil, tapi nak berniaga bukan begini caranya. "Juallah dengan identiti sendiri dan bina jenama sendiri. Akhir kata, carilah rezeki halal dan ada keberkatan, InsyaAllah anda akan pergi jauh," ujarnya lagi. Terdahulu, tular foto di media sosial yang menujukkan sebotol sambal yang kelihatan hampir sama dengan produk keluaran usahawan Kelantan itu. Bukan sahaja dari segi pembungkusan, malah poskad yang dikirim kepada pelanggan juga kelihatan hampir sama sehingga menimbulkan kekeliruan pengguna. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube