suria

Bernafsu dengan anak perempuan sendiri! Bapa diheret ke mahkamah mengaku tidak bersalah

Perbuatan amang seksual berlawanan dengan fitrah manusia -Gambar hiasan

SEORANG penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di Pulau Pinang pada Jumaat, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Nibong Tebal, pada pukul 12 tengah hari, 22 September lalu, dan pukul 3 petang, 13 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh disebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan mangsa masih tinggal bersama dengan tertuduh.

Dalam pada itu, tertuduh membuat rayuan dengan meminta jaminan ditawarkan atas alasan dia yang berpendapatan RM3,000 sebulan perlu menanggung isteri, dua anak berusia lima dan 15 tahun serta seorang ibu menghidap kanser.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain