suria

Ramai merana jadi mangsa, pusat kecantikan haram masih kebal... Benarkah ada ‘pelindung’?

Kebanjiran pusat rawatan kecantikan yang tidak bertauliah menarik perhatian ramai kerana menawarkan harga yang murah.

CANTIK itu subjektif!

Subjektif kerana setiap manusia mempunyai kecantikan tersendiri dan mereka perlu menerima kurniaan ini dengan hati terbuka.

Namun menjadi lumrah manusia, pasti ada yang tidak mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi sehingga mereka obses untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkan wajah sempurna, sepadan dengan standard 'kecantikan palsu' yang wujud pada hari ini.

Obsesi menjadi lebih parah dengan kewujudan media sosial seperti TikTok dan Instagram apabila ramai yang berlumba-lumba untuk memaparkan sisi terbaik wajah, penampilan dan kehidupan mereka.

cantik 1 c

Antara rawatan yang popular adalah suntikan untuk membesarkan punggung dan payudara.

Dengan bantuan suntingan serta pelbagai filter kesan khas, ramai dalam kalangan masyarakat kita terpedaya dengan ilusi dan kecantikan palsu yang sering dipaparkan di media sosial.

Standard kecantikan yang tidak masuk akal ini turut menyebabkan segelintir individu memilih jalan mudah dengan mendapatkan rawatan, termasuklah pembedahan plastik daripada pengendali pusat kecantikan haram dan tidak bertauliah.

Antara rawatan kecantikan yang popular pada hari ini adalah 'threadlift' atau tanam benang yang mana prosedur ini menggunakan benang khas bagi menegangkan wajah yang kendur.

Selain itu, suntikan botox atau botulinum toxin digunakan dalam kosmetik untuk menghilangkan kedutan atau merawat penyakit otot dengan melumpuhkannya buat sementara waktu.

cantik 1 a

Salah satu pusat kecantikan yang berdiri megah di sebuah bangunan di Petaling Jaya.

Antara prosedur lain yang sering dilakukan adalah suntikan 'filler', rawatan PRP (plasma kaya platelet) bagi merawat jeragat, membesarkan payudara, menganjalkan punggung dan sebagainya.

Disebabkan permintaan tinggi dan sambutan amat menggalakkan, tidak hairanlah pusat kecantikan tidak bertauliah ini banyak dibuka ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Apa yang lebih membimbangkan, sudahlah beroperasi secara haram, malah pengendali pusat kecantikan ini juga sewenang-wenangnya menyeleweng 'title' doktor untuk mempengaruhi dan memperdaya orang ramai.

Lazimnya, pusat kecantikan tidak bertauliah ini menawarkan perkhidmatan pembedahan kosmetik dengan kos rendah selain prosedur mudah dan cepat.

Meskipun media pernah melaporkan beberapa kes penderitaan mangsa pembedahan plastik akibat prosedur yang dilakukan doktor estetik palsu malah sehingga membabitkan kematian, namun nampaknya orang ramai seakan-akan tidak mengambil iktibar.

cantik 1 b

Seorang wanita berusia 29 tahun maut empat hari selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada suntikan asid hyaluronik untuk pembesaran payudara.

Antaranya, insiden seorang lelaki yang dilaporkan ditemukan mati dalam bilik sebuah hotel di Teluk Intan, Perak, pada Januari 2022 selepas mendapatkan perkhidmatan membesarkan otot punggung daripada individu yang menjalankan perniagaan kecantikan tanpa lesen.

Insiden kedua yang berlaku pada Ogos lalu, di mana seorang wanita berusia 29 tahun maut empat hari selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada suntikan asid hyaluronik untuk pembesaran payudara oleh pakar kecantikan tidak bertauliah di Skudai.

Lebih menghairankan, biarpun insiden demi insiden berlaku, sehingga kini masih tiada tindakan konkrit yang diambil oleh pihak berwajib bagi mengharamkan operasi pusat kecantikan tidak bertauliah dan mendakwa doktor estetik palsu ke muka pengadilan.

Persoalannya, mengapakah perkara ini masih berlarutan? Adakah ada pihak tertentu yang bertindak sebagai 'pelindung' sehinggakan pusat kecantikan tidak bertauliah ini kebal?

Nantikan kupasannya dalam siri akan datang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain