OBSES untuk cantik, menawan dan sempurna, ada individu tidak berfikir panjang apabila sanggup mempertaruhkan nyawa dengan melakukan pembedahan kosmetik yang menawarkan pakej harga rendah! Mahu menjimatkan kos selain inginkan kesan pantas, mereka memilih untuk mendapatkan perkhidmatan di pusat kecantikan tidak bertauliah tanpa mengetahui mereka dirawat oleh 'doktor palsu'. Dalam artikel sebelum ini, mStar mengupas secara umum kewujudan pusat kecantikan tidak bertauliah yang wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Untuk artikel kali ini, mStar meninjau dan mengunjungi sendiri beberapa pusat kecantikan estetik dipercayai tidak bertauliah di sekitar ibu kota berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh sumber sahih, malah menyamar sebagai pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan. Dua pusat kecantikan estetik dipercayai tidak bertauliah yang aktif mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan di laman Instagram. Sebagaimana yang dijangka, tiga buah pusat kecantikan yang 'disasarkan' mengenakan prosedur yang ketat, iaitu tiada istilah 'walk-in' meskipun sekadar mahu 'survey', pelanggan perlu memberikan butiran peribadi seperti nama, gambar serta akaun media sosial sebelum dibenarkan membuat rawatan dan menyatakan secara khusus rawatan yang ingin dipilih. Pusat kecantikan pertama yang dikunjungi penulis terletak di Taman Setapak, Kuala Lumpur. Menerusi tinjauan di laman Instagram, pusat kecantikan yang mempunyai lebih 50,000 pengikut ini menawarkan pakej rawatan seperti benang muka (threadlift), 'filler' payudara, punggung dan bibir, benang hidung dan pemutihan secara drip. Bagaimanapun, cubaan untuk ke pusat kecantikan berkenaan tidak berhasil kerana mereka tidak membenarkan kunjungan tanpa janji temu. Tidak berputus asa, penyiasatan diteruskan menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp, sebagaimana di bawah: Pengesahan diri yang perlu dilakukan sebelum menempah slot rawatan. Pusat kecantikan kedua yang dikunjungi yang terletak di Petaling Jaya pula gah berdiri di sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat, lengkap dengan papan tanda gergasi dan penyambut tetamu. Bagaimanapun, cubaan untuk bertemu doktor bagi tujuan konsultasi juga tidak berjaya kerana mereka menetapkan prosedur yang sama, iaitu membuat tempahan slot untuk temu janji dan memberikan butiran peribadi sebelum dimaklumkan kekosongan slot. Butiran peribadi yang diminta agak mencurigakan seperti akaun media sosial selain gambar bahagian wajah yang ingin dilakukan rawatan. Pakej rawatan yang ditawarkan. Menerusi tinjauan di Instagram, pusat kecantikan yang mempunyai lebih 5,000 pengikut ini memuat naik testimoni pelanggan serta kejayaan mereka meraih anugerah dalam bidang estetik untuk meyakinkan orang ramai. Pusat kecantikan ketiga yang terletak di Jalan Kuchai Lama turut hanya menerima pelanggan yang membuat tempahan slot temu janji, selain meminta gambar bahagian wajah asal. Satu lagi pusat kecantikan yang turut meminta gambar wajah sebelum meneruskan prosedur tempahan slot. Berdasarkan penyiasatan yang dilakukan, timbul persoalan kenapa syarat untuk mendapatkan rawatan begitu ketat sehingga perlu berkongsi maklumat peribadi terlebih dahulu? Malah mereka juga bertapak kukuh di bangunan yang gah tanpa rasa takut walaupun ramai telah menjadi mangsa selepas mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan. Mereka sewenang-wenangnya meminta butiran peribadi serta gambar pelanggan malah hanya menerima kunjungan menerusi temu janji. Aneh bukan? Untuk artikel akan datang, nantikan perkongsian daripada mangsa yang mengalami penderitaan akibat tersalah langkah menjalani rawatan di pusat kecantikan tidak bertauliah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube