RINTIHAN seorang wanita sambil merakamkan situasi ketika menjadi mangsa pukul suaminya tular di media sosial sejak Jumaat. Dalam video berdurasi 32 saat dikongsikan di X, berlaku perbalahan di antara pasangan itu di hadapan kediaman mereka yang turut disaksikan oleh jiran sendiri. "Abang janganlah, sakit abang!" rayu mangsa kepada suaminya yang memakai uniform tentera dalam nada sedih dan ketakutan. Seperti dirakamkan, jiran-jiran yang melihat kejadian tersebut cuba untuk meleraikan pergaduhan kerana bersimpati dengan nasib mangsa yang dikasari suaminya. Menerusi video dikongsikan, kejadian dikatakan berlaku di Kuarters Kem Sungai Udang, Melaka. Namun, si suami masuk ke dalam rumah sebelum menggertak wanita itu dengan mengacukan pisau. "Tak payahlah bang. Tak nak la abang, ya (baik). Kasihanlah anak," rayu isteri kepada suami sambil menangis. Dalam video kedua dimuat naik, kedengaran suara seorang kanak-kanak yang masih kecil menangis dipercayai sedang didukung wanita itu sewaktu menerima ugutan. Video tersebut mencetuskan kemarahan netizen yang menekankan agar tindakan segera perlu diambil terhadap individu tersebut. Susulan kejadian, Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Wira Zainol Samah berkata satu laporan polis daripada seorang wanita berbangsa Melayu berusia 38 tahun diterima. Jelas Wira, suspek berusia 25 tahun yang melakukan kekerasan terhadap isterinya merupakan seorang anggota tentera di sebuah kem di Sungai Udang, Melaka. "Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di sebuah flat mereka pada 15 Disember lalu. "Suami kepada mangsa telah dipanggil untuk dirakam percakapan," kata Wira. Berdasarkan kepada laporan berkenaan, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa yang merupakan isterinya. Tambahnya, suspek berdepan dengan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube