suria

Wajah keluar nanah gara-gara 'threadlift', akhirnya doktor di hospital juga dicari

Mangsa terpaksa berbelanja besar untuk merawat semula wajahnya yang rosak.

KERANA terpengaruh dengan rakan, akhirnya nyawa sendiri hampir melayang!

Hasrat seorang wanita dikenali sebagai Wati yang mahu wajahnya nampak lebih lebih muda, anjal dan jelita bertukar 'tragedi' apabila dia terpaksa hidup dalam keadaan menderita selama enam bulan.

Derita ini ditanggung susulan rawatan tanam benang (threadlifting) yang dibuat oleh Wati di sebuah pusat kecantikan di ibu negara pada 28 Jun lalu, menyebabkan wajahnya bernanah teruk sehingga dia terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital.

Hasutan kawan

Memulakan cerita, usahawan berusia 40-an itu mengakui berminat untuk menjalani prosedur kecantikan di premis berkenaan selepas dihasut oleh kenalannya, selain tertarik dengan harga 'mampu milik'.

Selepas berbincang dengan rakannya, Wati bersetuju untuk menjalani prosedur tanam benang yang dikatakan boleh membantu menjadikan wajah kelihatan lebih sihat dan muda.

Prosedur tanam benang pada wajah dilakukan dengan memasukkan benang khas ke dalam lapisan lemak di bawah kulit, kemudiannya ditarik untuk 'mengangkat' wajah, sekali gus dapat menghilangkan kendur pada muka dan leher.

Wati juga berani berdepan risiko apabila bersetuju menjalani prosedur membuat lesung pipit atau dimpleplasty yang dilakukan menggunakan teknik jahitan di premis berkenaan.

"Biasalah sembang semasa wanita. Lagipun threadlift is nothing, ramai orang buat. Kawan saya kata dia ada kenalan yang bagus untuk buat rawatan itu. Dia puji, sebabnya dia dah buat dan tidak berlaku masalah. Sebab itu juga saya yakin.

mangssssa

Wajah mangsa bernanah selepas mendapatkan rawatan kecantikan pada Jun lalu.

"Jadi saya buat dua rawatan. Pertama, saya buat threadlift di bahagian kanan dan pipi. Kemudian saya buat dimple atau lesung pipit. Kos untuk threadlift dan dimple RM2,500. Saya anggap ia murah. RM2,000 untuk threadlift dan RM500 untuk dimple kiri dan kanan.

"Premisnya macam kedai biasa, macam spa. Saya juga tengok ada sijil dekat sebuah bilik. Tapi tak tahu sijil betul ke tidak. Yang buat rawatan ke atas saya pula adalah seorang perempuan," ujarnya kepada mStar.

Mula timbul masalah

Menurut Wati, masalah mula timbul apabila bahagian kiri wajahnya mula bernanah sehingga dia terpaksa menahan sakit yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Tak tahu di masa silapnya, Wati bagaikan terduduk apabila diuji sebegitu rupa sedangkan rakannya tidak pernah mengalami masalah ketika menjalani prosedur kecantikan di premis sama sebelum ini.

"Saya rasa mungkin berpunca daripada penyimpanan. Mungkin thread itu tercemar. Sebabnya saya buat kiri dan kanan wajah. Tapi hanya bahagian kiri wajah bernanah. Yang kanan okay. Mungkin bahan itu tercemar ketika ia disimpan.

"Manalah tahu terkena kencing tikus, atau tak cukup sanitasi. Tak tahu barang digunakan bersih atau tidak. Jadi saya syak thread untuk belah kiri tu tercemar. Kalau nak kata saya tak jaga kebersihan selepas rawatan, kenapa hanya sebelah yang kena?" ujar Wati.

Rawatan dengan pakar

Selepas gagal menemui sebarang penyelesaian dengan pusat kecantikan itu, Wati akhirnya terpaksa berjumpa dengan doktor kerana tidak mahu nanah di wajahnya merebak semakin teruk, malah dia juga sudah tidak tahan menanggung kesakitan.

mangsa (2)

Mangsa terpaksa berbelanja ribuan ringgit demi merawat semula wajahnya yang rosak.

Imbas Wati, rawatan yang diterimanya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dianggap seperti satu azab, namun dia terpaksa melawan kesakitan untuk mencari solusi kepada masalah yang sedang dialaminya pada waktu itu.

"Threadlift dan dimple dibuat pada 28 Jun, pada 7 Ogos saya pergi sekali lagi ke premis itu untuk keluarkan thread saya di sebelah kiri muka kerana ia bernanah. Selepas dikeluarkan, ia masih bernanah juga. Nanah tak berhenti.

"Akhirnya saya serah diri kepada doktor. Ada seorang doktor buat surat rujukan kepada seorang pakar di PPUM. Masa di PPUM, muka saya ditoreh untuk buang nanah. Saya dimasukkan ke hospital selama seminggu. Sakit sangat.

"Selepas keluar hospital, saya masih perlu menjalani rawatan susulan. Setiap hari kena pergi ke klinik untuk buang nanah. Dari Julai sampai September saya ikuti rawatan susulan," ujarnya lagi.

Menurut Wati, wajahnya kini masih berparut, malah dia juga hidup bebas mekap sepanjang tempoh itu dan berhias ala kadar sahaja demi mendapatkan semula wajahnya yang lama.

mangsa4

Mangsa berharap pendedahan yang dibuat dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat agar menjauhi rawatan kecantikan tidak bertauliah.

"Sepanjang tempoh itu saya tak guna mekap. Muka rasa togel. Saya hanya pakai gincu dan maskara. Baru minggu lepas (hujung November) saya mula bersolek. Alhamdulillah sekarang back to normal, tapi parut masih kelihatan," ujarnya lagi.

Penyesalan

Selepas hampir setengah tahun hidup dalam keadaan derita, Wati berkata penyesalan masih berbekas di hatinya, malah dia sendiri mengakui kesilapannya yang tidak berfikir panjang selepas dipelawa rakan untuk menjalani rawatan kecantikan.

Apa yang lebih perit kata Wati, dia terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri sepanjang menjalani rawatan yang mana kos itu sepatutnya boleh digunakan untuk banyak perkara lain dalam hidupnya.

"Saya tanggung sendiri kos rawatan, benda macam ni mana ada insurans nak cover. Ini kesalahan sendiri. Masa rawatan tu saya 'kopak' gila. Masuk hospital seminggu dah RM1,500. Lepas tu masuk operation theatre (OT) tiga kali, sekali masuk dalam RM300.

"Kemudian cuci nanah setiap hari RM30. Saya cuci nanah dari Julai sehingga September kecuali hari Ahad atau hari cuti umum saja. Berapa ribu saya rugi? Tapi saya pilih untuk bersikap positif. Kalau kena pada orang lain, mungkin dah depresi.

"Dah la kali pertama saya buat rawatan kecantikan, terus kena macam ni. Memang taubatlah nak buat lagi.

"Sebelum ini memang saya sentiasa jaga diri. Tapi malangnya masa tu, saya sangat bodoh, terpengaruh hasutan kawan. Tapi kalau perkara ini tak terjadi, mungkin saya akan pergi lagi," ujar Wati lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain