suria

Buat lesung pipit, dapat ketumbuhan dalam mulut

Benang yang digunakan untuk menghasilkan lesung pipit terpaksa dibuang selepas mangsa mengalami ketumbuhan dalam mulut.

TAWARAN harga murah serta testimoni keberkesanan daripada bekas pelanggan membolehkan pusat-pusat kecantikan tidak bertauliah terus 'hidup' di negara ini.

Termakan dua 'umpan' itu, seorang suri rumah dikenali sebagai Mom terjerat dengan tawaran untuk mendapatkan rawatan kecantikan daripada seorang wanita pada 2021.

Menurut Mom, pusat kecantikan yang beroperasi dari sebuah rumah di di Kapar, Selangor itu menawarkan pelbagai rawatan untuk pelanggan, malah dia juga mengakui pernah beberapa kali berkunjung ke sana.

"Saya ni suka cantik, walaupun tak cantik. Satu hari, saya jumpa kawan, dia buat extension (sambungan) bulu mata. Saya tanya harga, buat dekat mana sekian-sekian. Lepas tu saya terpengaruh. Kawan inilah yang perkenalkan.

"Kenalkan tempat untuk buat macam-macam rawatan. Orang tu (beautician) buat dekat rumah. Mula-mula saya buat extension je. Semua okay. Dah lama-lama tu saya buat sampai sulam bedak dan lesung pipit palsu. Memang cantik dia buat, puas hati sangat.

02 mangsa

Mom terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di dalam mulut.

"Beautician wanita itu beroperasi di sebuah rumah dua tingkat. Dia buat dekat bilik bawah yang dilengkapi peralatan macam katil spa. Dia juga ada letakkan sijil dekat bilik. Dia beritahu ada pergi kursus kecantikan dan pernah bekerja di klinik gigi," cerita Mom.

Ketumbuhan dalam mulut

Namun kata wanita itu, kegembiraannya tidak berpanjangan apabila lesung pipit palsu yang dibuat dengan harga RM250 mula menunjukkan kesan sampingan sehingga dia tidak dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa.

"Jadi bermulalah kisah ngeri selepas buat lesung pipit palsu itu. Kesannya saya dapat rasa macam ada ketumbuhan dalam pipi. Dari kecil, ia membesar jadi 5 sentimeter, macam ada daging lebih. Lama juga saya biarkan, tapi rasa sangat tak selesa.

"Sedangkan saya tengok di Instagram beautician itu, ada juga orang lain buat lesung pipit palsu dengan dia. Saya tengok pelanggannya tak kira bangsa. Tak tahulah kenapa saya saja yang terkena. Ketumbuhan itu makin besar sampailah saya pergi klinik untuk pemeriksaan pendakap gigi yang saya pakai.

dimple

Bukan sahaja wanita, malah ada juga kaum Adam yang melakukan prosedur ini. -Gambar hiasan

"Bila pergi klinik, doktor tak bagi saya pakai pendakap gigi buat sementara waktu sebab bimbang ketumbuhan itu makin teruk. Jadi doktor buka pendakap gigi saya. Dia kemudiannya rujuk saya ke sebuah hospital swasta," ujarnya.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, kunjungan Mom ke hospital itu bagai mengesahkan masalah besar yang sedang dihadapinya, malah doktor juga memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu.

Rugi ribuan ringgit

Bukan sekali, bukan dua kali, sebaliknya Mom mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tiga kali bagi mengeluarkan benang lesung pipit palsu di hospital itu yang mana kos rawatan mencecah RM5,000.

"Saya menjalani pembedahan sebanyak tiga kali. Kali pertama pada Mac 2021 dan yang terakhir pada Jun. Masa pertama kali, doktor tak dapat kesan ada benang. Jadi selepas pembedahan pertama, ketumbuhan muncul semula.

Facial Beauty Treatment. Beautiful Young Female With Smooth Skin, Perfect Makeup And Surgical Lines. Closeup Of Beautician Hands Touching Woman Face Before Plastic Surgery Operation. High Resolution

Banyak rawatan kecantikan tidak bertauliah ditawarkan pada harga berpatutan. -Gambar hiasan

"Pembedahan buang ketumbuhan kali kedua pun masih tak jumpa benang tu. Bila buat kali ketiga, dotor potong dan korek dalam sikit, barulah jumpa benang yang bersimpul dan berjaya keluarkan cebisan benang. Lebih merisaukan, saya juga sedang hamil masa pembedahan tu," ceritanya lagi.

Hargai kecantikan sendiri

Berdepan pengalaman itu ternyata meninggalkan trauma, malah Mom akui serik untuk mendapatkan apa-apa rawatan kecantikan lagi sehingga ke hari ini.

Malah, Mom juga berharap perkongsiannya dengan mStar dapat membuka mata ramai individu di luar sana agar tidak terjerat dengan rawatan kecantikan tidak bertauliah yang ditawarkan dengan harga rendah.

"Saya dah berhenti buat rawatan kecantikan. Keinginan itu ada tapi saya dah trauma. Nak sembuh lepas pembedahan itu tak lama, tapi seksa nak makan, nak berkumur, nak berus gigi. Sebab tersiat kulit dalam mulut.

"Nasihat saya kepada wanita atau lelaki di luar sana, nak cantik memang sakit tapi biarlah sakit yang berbaloi tanpa mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri. Ini tidak, cantik dengan harga murah, lepas tu ada kesan buruk.

"Lepas tu kita kena keluarkan duit lagi untuk kos perubatan lebih dari kos prosedur kecantikan. Sakit dapat, susah pun dapat. Nak saman pun susah, sebab itu salah sendiri. Ingatlah, kecantikan asal yang Allah bagi adalah kecantikan sebenar," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain