KEGHAIRAHAN untuk sentiasa kelihatan cantik, menarik, jelita, segak dan bergaya menjadi punca sebahagian masyarakat moden ketika ini begitu teruja untuk melakukan rawatan kecantikan khususnya pada wajah dan bentuk badan. Walaupun terdapat pusat rawatan kecantikan yang diiktiraf dengan pakar-pakar yang mendapat pendidikan khusus dalam bidang estetik, trend masyarakat lebih gembar memilih pusat rawatan kecantikan 'cap ayam' yang boleh mengundang risiko. Atas sebab permintaan tinggi itu, pusat kecantikan berkenaan mucul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ada sesetengah daripadanya menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding dengan klinik estetik bertauliah, sekali gus berjaya menarik minat orang ramai untuk mendapatkan khidmat mereka. Namun perkembangan ini mencetuskan kebimbangan ramai khususnya aspek keselamatan dan kesihatan pesakit. Menurut Pengarah, Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), apa yang paling membimbangkan adalah sekiranya pesakit dikendalikan 'doktor' yang tidak mempunyai kelayakan atau tauliah "Pengamal kecantikan atau beautician sepatutnya menyediakan perkhidmatan yang terhad kepada kecantikan sahaja. Sekiranya sebarang prosedur mempunyai unsur-unsur yang invasif, beautician tidak boleh menjalankan prosedur tersebut. "Hanya doktor perubatan sahaja yang mempunyai pentauliahan daripada KKM dibenarkan dan layak menjalankan prosedur yang invasif. "Individu bukan doktor perubatan bertauliah yang menggunakan gelaran doktor, sama ada doktor falsafah (PhD) atau menggunakan gelaran tersebut dengan sewenang-wenangnya tidak dibenarkan untuk menjalankan prosedur yang invasif," katanya. Sebarang prosedur yang mempunyai unsur-unsur invasif perlu dilakukan oleh doktor perubatan, dan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan oleh pengamal kecantikan. Untuk makluman, prosedur invasif tidak hanya membawa maksud pembedahan besar yang menggunakan pisau bedah (surgical knife/scalpel) sahaja. Ia juga tidak hanya melibatkan luka kecil seperti suntikan atau pun memasukkan sesuatu yang halus seperti benang (threadlift). Sebaliknya sebarang prosedur yang tidak melibatkan luka luaran seperti laser, pico, HIFU juga dianggap prosedur invasif kerana melibatkan struktur yang lebih dalam daripada sekadar kulit luaran. Elemen red flag Selain unsur pembedahan invasif, beliau menyenaraikan beberapa elemen 'red flag' atau tanda amaran yang perlu diambil berat oleh pengguna sebelum mendapatkan perkhidmatan estetik. 1. Tidak mempunyai premis yang tetap Prosedur dijalankan di hotel-hotel, rumah atau bilik sewa, atau di premis yang hanya akan didedahkan selepas sejumlah deposit dibayar. Namun begitu terdapat juga premis yang semakin berani dan mempunyai alamat tetap. 2. Pengamal (Individu yang menjalankan prosedur) Periksa dulu nama pengamal tersebut sekiranya prosedur yang dijalankan adalah prosedur yang invasif. Orang awam boleh menyemak nama doktor berdaftar di laman sesewang Malaysian Medical Council (MMC). 3. Kos Kebanyakan premis-premis tidak berdaftar atau individu yang tidak berkelayakan menawarkan harga yang jauh lebih murah. Tetapi ada juga yang menawarkan harga yang hanya murah sedikit untuk mengelirukan pelanggan. Wujud tangan ghaib? Biarpun sudah banyak kes dilaporkan malah sehingga ada laporan melibatkan kematian, namun seakan-akan tiada tindakan tegas diambil kepada pihak yang berkenaan. Wujud tanda tanya mengapakah perkara ini masih berterusan dan apakah ada 'tangan ghaib' di sebalik premis-premis ini sehingga mereka 'kebal'. Individu yang berhasrat untuk melakukan prosedur estetik perlu mengambil kira beberapa elemen penting untuk mengelakkan berlaku sebarang kemudaratan pada wajah atau tubuh badan. -Gambar hiasan/The Star "Pihak KKM tidak mempunyai maklumat berkenaan hal ini dan tidak boleh membuat sebarang andaian atau tuduhan. Tetapi ramai mangsa tidak mahu tampil untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa. "Dipercayai kerana malu dan juga stigma masyarakat secara umumnya. Mangsa juga mungkin takut untuk tampil melaporkan perkara ini," katanya lagi. Mengulas lebih lanjut, beliau menambah, apa yang lebih dikesalkan apabila pengguna atau pelanggan yang mengalami komplikasi akibat prosedur yang dilakukan akan merujuk kepada hospital kerajaan yang mana secara tidak langsung menambah beban hospital berkenaan. "Sebarang kes-kes komplikasi akibat mendapatkan rawatan atau perkhidmatan yang tidak dibenarkan ini berkemungkinan tidak akan ditanggung oleh syarikat insurans. "Oleh itu, mangsa perlu membayar sendiri kos rawatan sekiranya pergi ke hospital swasta. "Sekiranya mangsa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, kos rawatan akan ditanggung oleh kerajaan. Ini sekali gus menambah beban hospital kerajaan," ujarnya lagi. Peranan KKM Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih cakna dan mendapatkan rawatan di klinik estetik bertauliah yang lebih terjamin keselamatannya. "Setiap prosedur yang dijalankan mempunyai risiko dan kemungkinan berlaku komplikasi. Jadi, semak dan periksa dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. "Orang awam juga boleh rujuk kepada Instagram @apacmalaysia untuk mendapatkan maklumat dengan lebih cepat. Ini merupakan satu inisiatif yang diwujudkan oleh doktor-doktor perubatan bertauliah dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya. Dalam pada itu tambahnya, KKM sentiasa berusaha untuk membanteras isu ini dengan tuntas namun ia perlu disertai dengan kerjasama orang ramai khususnya mangsa yang terlibat perlu tampil ke hadapan. "Dengan kadar peningakatan perkhidmatan ini yang begitu pantas, saya yakin pihak KKM tidak mampu untuk menangani isu ini dengan mudah. "Justeru, kesedaran dalam kalangan orang awam perlu ditingkatkan. Selagi ada permintaan, selagi itu perkhidmatan seperti ini akan ada," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube