KEWUJUDAN banyak pusat kecantikan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan menawarkan harga lebih rendah berbanding klinik estetik bertauliah, secara tidak langsung 'membunuh' industri estetik profesional. Bagaimanapun, menurut pengarah perubatan dan doktor estetik bertauliah di MYA Clinic, IOI Conezion Putrajaya, Dr Mya, perkara tersebut tidak menjadi isu besar buat golongan doktor estetik bertauliah. "Sailang customer bukanlah satu isu kepada kami kerana rezeki datangnya daripada Allah. "Tetapi yang menjadi isu adalah mereka (pengguna) mendapatkan rawatan daripada pengamal kecantikan tidak bertauliah dan premis yang tidak berdaftar. "Ini sangat membimbangkan kami terhadap komplikasi yang boleh mereka hadapi," kata Dr Mya yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam bidang perubatan ini. Syarat ketat untuk bergelar doktor estetik bertauliah Menurut Dr Mya, lebih dikesalkan apabila pengguna bukan hanya mudah terpengaruh dengan tawaran harga perkhidmatan yang murah, sebaliknya mudah terpedaya dengan gelaran 'doktor' yang digunakan premis ini untuk mengaburi mata orang ramai. Jelas Dr Mya, seseorang pengamal perubatan perlu menepati beberapa syarat yang ditetapkan bagi melayakkan mereka bergelar doktor estetik bertauliah, iaitu: 1) Seorang doktor perubatan yang telah 'fully registered' dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) 2) Mempunyai lesen tahunan (Annual Practising Certificate) yang perlu diperbaharui setiap tahun 3) Mempunyai pengalaman minimum atau lebih dua tahun sebagai doktor perubatan selepas berdaftar sepenuhnya dengan MMC 4) Wajib menamatkan latihan dua tahun dalam 'aesthetic medical practice' Pengamal perubatan perlu menepati beberapa syarat yang ditetapkan bagi melayakkan mereka bergelar doktor estetik bertauliah dan melakukan prosedur estetik. -Gambar hiasan/AFP/Peter Parks "Selepas memenuhi semua syarat di atas, doktor tersebut boleh memohon untuk mendapatkan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan prosedur estetik di mana beliau akan melalui beberapa ujian untuk memastikan seorang doktor itu mampu melakukan prosedur dengan selamat. "Seorang doktor hanya boleh melakukan prosedur estetik selepas mendapat LCP ini. "Di sini, saya ingin menekankan prosedur-prosedur estetik hanya boleh dilakukan oleh doktor yang bertauliah dan di klinik yang berdaftar dengan KKM sahaja. "Kami sebagai doktor estetik bertauliah sangat kecewa apabila sesetengah pihak atau pemilik pusat kecantikan sewenang-wenangnya menggelarkan diri mereka 'doktor', walhal untuk mendapatkan gelaran 'doktor estetik bertauliah' bukanlah mudah," terangnya. Pengamal kecantikan dan premis cenderung lepas tangan Mempunyai lebih enam tahun pengalaman dalam bidang estetik, kata Dr Mya, prosedur-prosedur estetik perlu dilakukan di klinik estetik yang berdaftar dengan KKM kerana memerlukan 'sterilization' yang betul dan menggunakan produk-produk yang sah dan berdaftar. Dr Mya mempunyai sebuah klinik estetik di Cyberjaya. "Disebabkan itu, harga untuk rawatan estetik tidak murah dan tidak juga terlalu mahal, mengikut rawatan yang dipersetujui selepas konsultasi dengan pakar estetik. "Apabila ada komplikasi disebabkan kecuaian dan sebagainya, barulah dirujuk kepada pakar estetik. Kebanyakan komplikasi yang dirujuk kepada pakar estetik sudah terlambat untuk dirawat. "Pemilik premis dan 'pengamal kecantikan' akan bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab terhadap kompilikasi yang terjadi memandangkan mereka tiada 'ilmu' untuk menghadapi atau merawat komplikasi yang berlaku. "Komplikasi-komplikasi ini juga boleh menyebabkan kematian," jelasnya lagi mengenai risiko melakukan prosedur dengan pihak tidak bertauliah. Buat laporan kepada KKM Justeru ujarnya, sudah tiba masa untuk orang ramai membuka mata mengenai risiko mendapatkan perkhidmatan di premis kecantikan tidak bertauliah lebih-lebih lagi ia melibatkan nyawa. "Jangan tertipu dengan tawaran perkhidmatan murah mereka sehingga anda sanggup mengorbankan nyawa anda di tangan orang yang tidak bertanggungjawab. "Sekiranya anda ditawarkan perkhidmatan sebegini dan anda tahu mereka tidak bertauliah dan tidak berdaftar dengan KKM, buat laporan dan aduan secepat mungkin kepada pihak yang berkenaan. "Bantuan orang ramai sangat diperlukan untuk menangani masalah premis-premis yang tidak berdaftar ini. "Saya juga berharap agar pihak KKM memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan yang lebih proaktif berbanding hanya menunggu aduan dan laporan dari orang awam," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube