suria

Lelaki tumbuk anggota JPJ rupanya ada 3 kesalahan lalu lintas, sudah didakwa di mahkamah

Video yang tular di laman X menunjukkan seorang anggota JPJ ditumbuk oleh pemandu motolori.

TULAR video menunjukkan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditumbuk oleh pemandu motolori model Nissan Vanette.

Pemandu lelaki terbabit dikatakan enggan berhenti semasa ditahan oleh anggota JPJ untuk pemeriksaan lanjut sehingga dia diekori sehingga ke Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah di mana ketegangan tercetus.

Selain bertindak menyerang anggota JPJ, turut kedengaran pemandu itu mengeluarkan kata-kata kesat dan melakukan provokasi.

Pada Rabu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah memaklumkan kejadian sebenarnya berlaku pada 23 November 2023 sekitar pukul 4 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik perangai! Ada yang suka tengok pemandu lori tumbuk anggota JPJ sedang jalankan tugas - “Tiba-tiba rasa puas”

Laporan polis sudah dibuat susulan pihak yang terlibat melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Rentetan itu, individu terbabit telah ditahan oleh polis dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

"Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000," kata JPJ Negeri Kedah menerusi satu kenyataan.

Tambahnya lagi, sebelum kejadian, anggota bertugas sedang melakukan rondaan penguatkuasaan apabila mereka mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan PUSPAKOM tamat tempoh.

"Kenderaan tersebut diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberikan kerjasama," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain